ALOR SETAR: Ketua Bahagian UMNO Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail menyatakan bahawa pihak Lembaga Disiplin UMNO telah membuat keputusan untuk bersetuju bagi menangguhkan hukuman penggantungan keahlian parti selama enam tahun keatas dirinya.

Bagaimanapun beliau memaklumkan, keputusan sebenar sama ada dirinya dilepaskan daripada hukuman berkenaan hanya akan dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang akan datang.

Jelasnya, penangguhan berkenaan dibuat setelah rayuan UMNO Bahagian Alor Setar kepada Ibu Pejabat UMNO, baru-baru ini.

Tambah Yusof, pihaknya sehingga kini tidak dimaklumkan mengenai punca sebenar tindakan menggantung keahliannya dibuat dan masih belum dipanggil Lembaga Disiplin UMNO bagi proses mengambil keterangan.

"Saya pun sebenarnya, tidak tahu sebab apa saya digantung, saya pun tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin dan tidak pernah dinyatakan apa kesalahan saya kepada parti, tiba-tiba saya digantung,

"Saya beranggapanlah mungkin tulisan-tulisan saya di dalam WhatsApp Group Ketua Bahagian (UMNO Malaysia) itu mungkin menjadi kesalahan yang tanpa saya sedari dan saya diambil tindakan (sedemikian), jadi kalau kata saya nak buat sidang media (PC) di luar (memburukkan imej UMNO), saya pun tak pernah buat PC di luar dan saya tak pernah pun menentang UMNO daripada luar.

"Mungkin saya rasa tulisan-tulisan macam itu menjadi kesalahan pada saya dan saya rasa perkara ni saya boleh ambil sebagai satu iktibar untuk masa yang akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar di Bangunan Tunku, Alor Setar, malam tadi (Sabtu).

Dalam pada itu, Yusof turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak yang banyak membantunya menyelesaikan isu berkenaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan ahli-ahli MKT.

Tambahnya, momentum parti dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) akan terjejas terutama di kawasan Parlimen Alor Setar, DUN Alor Mengkudu, dan DUN Suka Menanti.

"Kalau saya terus digantung, saya bimbang dari segi (sokongan akar umbi) sebab kita dah empat tahun bersama dengan rakyat dan pengundi, macam-macam program kita buat, macam-macam perkara yang kita sudah buat, jadi dalam ramai-ramai yang kita membantu mungkin rasa kekecewaan di kalangan pengundi-pengundi terutamanya ahli-ahli UMNO, ahli UMNO ada lebih kurang 18,000 di Parlimen Alor Setar ni.

"Jadi sepanjang empat tahun saya memimpin UMNO Bahagian Alor Setar ini, saya rasa kita punya program dibantu oleh sayap-sayap, kita bergerak seadanya seperti UMNO di Alor Setar ini tidak pernah kalah," katanya.

Sementara itu, beliau mengesahkan bahawa sudah menghantar senarai penuh calon-calon yang akan bertanding mewakili UMNO dan BN bagi kerusi DUN Suka Menanti dan DUN Alor Mengkudu yang turut melibatkan sayap-sayap parti berkenaan.

Rundingan juga sedang berjalan membabitkan kerusi Parlimen Alor Setar dimana kepimpinan Barisan Nasional (BN) di peringkat Pusat sudah dimaklumkan mengenai hasrat UMNO bagi bertanding di kerusi berkenaan yang sebelum ini menjadi milik MCA.

Minggu lalu, Yusof mengesahkan beliau digantung keahlian parti selama enam tahun.

Menurutnya, beliau dihubungi beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menghadiri mesyuarat MKT di Kuala Lumpur, pada 30 September mengenai keputusan itu.

Bagaimanapun Yusof berkata, tiada makluman rasmi mengenainya dibuat Ibu Pejabat UMNO kepadanya dan beliau belum memikirkan sama ada akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Beliau juga percaya keputusan penggantungan yang diumumkan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu adalah kesan tindakannya yang kerap mengkritik Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi namun dilakukan secara tertutup.