KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menggesa kerajaan agar menghentikan tindakan menjadikan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) di peringkat Persekutuan yang didakwa digunakan sebagai alat politik atau hukuman terhadap wakil rakyat.
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, desakan itu dibuat susulan laporan terbaharu membabitkan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Menurut kedua-dua NGO itu, Rodziah dilaporkan disekat daripada mengakses platform MyKHAS, iaitu pangkalan data berpusat yang mengurus permohonan peruntukan pembangunan.
“Insiden-insiden ini menambah kebimbangan yang lebih luas mengenai pentadbiran CDF di peringkat Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan bersama yang disiarkan hari ini.
Kenyataan bersama itu turut mengulangi gesaan seperti yang dikemukakan dalam Laporan Tahunan dan Kertas Pendirian Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti serta Rang Undang-Undang CDF.
Jelasnya, dana awam berkenaan perlu diperuntukkan menerusi undang-undang bagi memastikan pengagihannya dibuat secara adil, telus dan berasaskan peraturan.
Selain itu, satu sistem pengagihan dana awam berasaskan formula perlu diwujudkan tanpa mengambil kira afiliasi politik atau perbezaan pendirian dalaman parti dalam kalangan mereka yang telah diberikan mandat oleh pengundi.
Pada masa sama, dokumen penting seperti garis panduan terperinci dan pekeliling berkaitan CDF juga perlu disediakan serta boleh diakses oleh orang ramai sebagai sebahagian daripada amalan tadbir urus yang baik.
“IDEAS dan Bersih menggesa kerajaan menggubal kerangka perundangan bagi CDF berdasarkan prinsip kesaksamaan, ketelusan dan pengagihan berasaskan bukti menerusi formula yang telus dan termaktub dalam undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari berkata, kerajaan Persekutuan dan negeri perlu mempunyai perancangan jangka panjang untuk menghentikan penyaluran CDF menerusi Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menurutnya, wakil rakyat seharusnya memberi tumpuan kepada peranan dalam bidang perundangan, penggubalan dasar serta fungsi semak dan imbang, manakala bantuan kebajikan dan projek kecil tempatan dilaksanakan secara objektif oleh agensi kerajaan.
Dalam pada itu, Pengerusi Bersih, Faisal Aziz berpandangan penyaluran CDF menerusi wakil rakyat membimbangkan kerana berpotensi digunakan pihak Eksekutif untuk memberi tekanan kepada wakil rakyat, selain dimanfaatkan bagi kepentingan politik.
Beliau turut mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai janji Pakatan Harapan (PH) untuk memberikan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira afiliasi politik.
“Penyaluran CDF melalui wakil rakyat mewujudkan persekitaran politik yang tidak kompetitif secara adil di Malaysia dan perlu ada rancangan jangka panjang untuk menghentikan amalan tersebut,” katanya lagi.
Semalam, lima Ahli Parlimen kerajaan menyatakan kekecewaan susulan sekatan akses MyKHAS terhadap Rodziah yang menurut mereka menjadikannya wakil rakyat kerajaan ketiga berdepan tindakan sedemikian.
Menerusi kenyataan bersama, Wong Chen (Subang), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Rodziah Ismail (Ampang), Kesavan Subramaniam (Sungai Siput) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju) turut menuntut penjelasan Perdana Menteri berhubung asas sekatan berkenaan serta pelantikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin sebagai Penyelaras Parlimen Ampang.
“Kami tidak meminta layanan istimewa, kami hanya menuntut satu prinsip yang sangat mudah: hormati mandat rakyat,” menurut kenyataan bersama lima Ahli Parlimen berkenaan.