KUALA LUMPUR: Biarpun pilihan raya sudah berakhir, UMNO masih perlu memberi perhatian pada kerja-kerja membaik pulih parti itu dari dalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, tiga isu yang membelenggu UMNO, iaitu kerjasama dengan DAP, isu Presiden dan Datuk Seri Najib Razak, harus diselesaikan bagi membolehkan fokus diberi kepada berkhidmat untuk rakyat.

"Ada perkara asas yang kita kena selesaikan berkenaan dengan idealogi, tak boleh cepat sangat sebab dalam politik, saya selalu cakap, politik ini tentang masyarakat dan kuasa. Apa yang kita buat dengan kuasa yang diberikan oleh rakyat. Kita kena bertanggungjawab kepada pengikut kita. Sebagai pemimpin, kita tak boleh bawa pengikut ke arah kemudaratan, sebab itu saya kena selesaikan masalah ini.

"Kalau kita vegetarian, kita boleh duduk satu restoran dengan vegan, walaupun banyak perkara kita tak bersetuju tapi masih boleh duduk satu restoran. Tapi kalau dalam satu restoran awak letak vegetarian dengan pemakan daging, tak boleh, mereka akan bergaduh. Ini isu asas, dalam perlembagaan pun ada struktur asas yang tak boleh diambil ringan," katanya ketika menjadi tetamu program Dialog Tiga Penjuru yang disiarkan pada Isnin.

Turut menjadi tetamu ialah Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Sulaiman dan penganalisis politik dari Sunway University, Prof Wong Chin Huat.



Menyentuh tentang pelbagai isu dan krisis yang membelenggu parti dalam kerajaan perpaduan, Chin Huat berpendapat, setiap parti perlu mempunyai pendekatan pragmatik bagi membolehkan mereka berkhidmat tanpa gangguan, sekali gus menghentikan politiking.

Jelasnya, sebuah parti berfungsi yang sebagai kenderaan untuk mengangkat ideologi, harus responsif terhadap kehendak rakyat namun masih perlu melihat bagaimana mahu menangani setiap isu yang timbul secara waras dan realistik, berasaskan pertimbangan praktikal.

"Isham ada sebut dalam pilihan raya, (parti-parti) susah nak bekerjasama tapi lepas pilihan raya, boleh. Kita lihat bagaimana negara lain yang mempunyai sistem demokrasi berparlimen, yang ada kerajaan gabungan yang kadang-kadang parti tertentu sudah jangka akan jadi rakan kongsi dalam kerajaan gabungan tetapi mereka masih bersaing, bagaimana mereka mengendalikan keadaan itu?

"Apa yang penting ialah parti-parti itu menjadi lebih pragmatik. Mereka tidak janjikan bulan dan bintang kerana dia tahu dia tak dapat mendominasi kerajaan. Apabila masuk dalam kerajaan campuran, mereka mesti berunding dan berkompromi, jadi pengikutnya juga tahu dan faham.

"Bayangkan satu parti puak kanan yang percayakan kebebasan pasaran dan satu puak kiri yang tegas dengan keadilan sosial. Puak kanan tak boleh kompromi dengan orang sosialis, puak kiri kata mereka nak keadilan sosial jadi tak boleh kompromi dengan kapitalis.

"Kalau mereka ambil pendirian begitu, masuk pilihan raya lepas tu mereka nak berpeluk cium untuk bentuk kerajaan, sudah pasti akar umbi akan menolak. Tetapi kalau mereka masuk dan puak kanan kata nak kadar cukai rendah lima peratus, puak kiri kata tak boleh, kita nak cukai tinggi, orang kaya bayar cukai jadi 10 peratus...mereka bentuk kerajaan campuran, mereka mungkin sampai kepada satu kompromi 7.5 peratus.

"Yang kanan boleh balik beritahu akar umbi, kalau bukan kerana kita, mesti sudah kena 10 peratus. Yang kiri balik beritahu akar umbinya, kalau bukan kerana kita, mesti kena lima peratus saja.

"Jadi kedua pihak boleh bertanggungjawab kepada akar umbi dan penyokong mereka," ujarnya.