POLITIK
Isu hadir mesyuarat Bersatu: MIC tunggu surat, sedia beri penjelasan - Vigneswaran

Vigneswaran memaklumkan setakat ini MIC masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada Barisan Nasional mengenai perkara tersebut. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menegaskan parti itu sedia memberikan penjelasan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung tindakan seorang pemimpin sayap MIC yang menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, pada Sabtu.
Ringkasan AI
- Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, menegaskan parti akan memberi penjelasan bertulis kepada BN berhubung kehadiran Timbalan Ketua Pemuda MIC, K. Kesavan, ke PAT Armada Bersatu selepas menerima surat rasmi.
- Vigneswaran mengesahkan tiada tindakan disiplin dibincangkan terhadap Kesavan setakat ini, walaupun BN anggap kehadiran itu tidak wajar kerana Bersatu parti pembangkang.
- Vigneswaran mengakui MIC pernah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan PN susulan usul akar umbi untuk menyokong PN, namun menegaskan parti sentiasa terbuka berbincang mengenai hala tuju politik.
"Kita masih tunggu surat, dan kita akan beri penjelasan secara bertulis sebaik sahaja menerima (surat rasmi)," katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.
Selain itu ketika ditanya sama ada sebarang tindakan disiplin dibincangkan terhadap pemimpin berkenaan, Vigneswaran berkata: “Tiada sebarang tindakan disiplin dibincangkan setakat ini."
Sebelum ini diaporkan Timbalan Ketua Pemuda MIC, K. Kesavan, hadir pada mesyuarat berkenaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.
Kesavan dilihat duduk di barisan hadapan bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham, menyampaikan ucapan dasar.
Perwakilan Armada Bersatu turut bersorak apabila nama MIC disebut dalam ucapan alu-aluan Hilman.
Sementara itu, Ahmad Zahid di Bagan Datuk, Perak memberitahu media, BN akan menghantar surat rasmi kepada MIC bagi meminta penjelasan berhubung perkara itu.
Jelasnya, MIC perlu memberi penjelasan bertulis kerana Bersatu bukan sebahagian daripada gabungan BN sebaliknya parti pembangkang.
Vigneswaran sebelum ini mengakui MIC pernah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan PN bagi menentukan hala tuju politik parti itu.
Beliau berkata, perkara tersebut tidak disembunyikan kerana MIC sentiasa terbuka untuk berbincang, berikutan usul yang dicadangkan akar umbi parti di Kedah dan Pulau Pinang untuk menyokong PN.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami