Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menasihatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikaitkan dengan sebuah klip video seks supaya bersabar menempuh dugaan.

Di sebalik pelbagai kecaman yang dilontarkan PKR terhadap Pas sebelum ini, namun Hashim mengambil pendekatan yang berjiwa besar dengan memberi sokongan dan kata-kata semangat kepada Timbalan Presiden PKR itu.

Katanya, Pas mengambil pendirian tidak akan campur tangan dalam isu berkenaan dan percaya jika perkara itu fitnah, maka mereka yang terlibat akan menjawab di mahkamah Allah SWT kelak.

"Soalan ni soalan berkait dengan hukum. Yang menuduh kena bawa bukti dan orang yang kena tuduh dia kena bersumpah. Kalau dia tak melakukan, dia bersabarlah; dia sabar dia boleh bersumpah," kata Hashim.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Shukri Ramli di Kuala Sungai Padang dekat Arau, Perlis pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man; Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi; dan pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas termasuk wakil rakyat dari Pakatan Harapan (PH).

Tambah beliau, pada zaman ini pelbagai perkara boleh dilakukan untuk menganiaya orang. Namun, kata beliau, jika umat Islam berpegang kepada dosa dan pahala, mereka tidak akan berani melakukan benda yang tidak baik itu.