Pemuda PAS Terengganu menyokong penuh semua keputusan yang telah dan bakal diambil kepimpinan tertinggi parti itu serta Majlis Syura Ulama berhubung isu Menteri Besar Selangor.

Timbalan Ketuanya, Hishamuddin Abdul Karim berkata pihaknya tidak akan berganjak dengan pendirian itu dan yakin Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai asas kukuh bagi menyokong keputusannya.

"Pemuda PAS Terengganu senada dengan Tuan Guru Presiden dan kita mendokong penuh keputusan yang dibawa oleh Presiden parti kerana asas tuan guru adalah sebagai nakhoda kepada PAS.

"Jadi, inshallah, semua Pemuda Terengganu bersama dengan Tuan Guru Presiden,” katanya kepada pemberita.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh itu berkata, kesemua pemimpin Pemuda PAS di lapan kawasan sudah menyatakan pendirian masing masing untuk bersama Abdul Hadi dalam kemelut yang melanda Pakatan Rakyat.

"Tidak timbul soal Pemuda Terengganu membelakangi Tuan Guru Presiden, apa yang lebih penting sekarang ini, kami bersama Tuan Guru Presiden dan kita bersama Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang di Kota Bharu tempoh hari,” katanya lagi.

Mengulas desas-desus bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bakal menyertai PAS selepas dipecat dari PKR, beliau menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan tertinggi PAS.

"Itu terserah kepada kepimpinanlah, saya rasa kepimpinan pusat yang menentukan permohonan, saya yakin perkara ini akan dibawa kepada kepimpinan pusat dan diputuskan di sanalah.

"Saya rasa saya tidak berhak untuk respon soalan tentang keahlian Tan Sri Khalid,” katanya.