SHAH ALAM : Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai parti ‘kawan makan makan’.

Menurut beliau, ia susulan kenyataan Amanah yang merayu agar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak pengampunan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, desakan yang dilakukan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad itu menyebabkan Amanah hanya layak menjadi kawan dan bukan sebagai sahabat dalam perjuangan.

“Sebab itu memang susah bersahabat dengan Amanah. Hanya boleh jadi kawan. Kawan yang tidak beri jaminan Kerajaan Perpaduan boleh kekal. Kawan makan kawan,” katanya dalam Facebooknya pada Ahad.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong supaya permohonan pengampunan terhadap Najib ditolak.

Khalid berpandangan, pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej yang sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan juga seluruh dunia berhubung sikap serta pendirian terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Selain itu, Mohd Puad turut menyifatkan bahawa Amanah tidak tertib dan menghina budi bicara Yang di-Pertuan Agong selain secara jelas telah mempersoalkan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda.

“Masalahnya Amanah kerana mendesak Yang di-Pertuan Agong menolak pengampunan Najib. UMNO hanya menyokong sahaja,” ujarnya.

Tambah beliau, kenyataan Khalid itu dianggap sebagai pendirian rasmi parti kerana tiada sebarang penafian yang dilakukan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu.

"Apatah lagi Datuk Seri Salahuddin Ayub mahu penyokong Najib terbuka dengan keputusan Lembaga Pengampunan. UMNO tidak ada masalah pun. UMNO akur proses perundangan.

“UMNO tidak membising pun bila Lembaga Pengampunan tidak bincang kes Najib dua hari lalu,” katanya. - Sinar Harian