Skip to main content

Politik

Isu pengampunan Najib: Pas jangan menangguk di air keruh, patut faham peraturan - PM Anwar

Foto Shahir
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan pembangkang khususnya Pas yang didakwa cuba menangguk di air keruh berhubung keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. - Gambar fail/Astro AWANI
Advertisement

KOZHIKODE: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan pembangkang khususnya Pas yang didakwa cuba menangguk di air keruh berhubung keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menepis tuduhan wujud campur tangan atau 'tangan ghaib', Anwar menegaskan peranan yang dimainkan oleh Perdana Menteri dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang dan panduan rasmi Peguam Negara.

"Dia Pas ni sebenarnya dalam menangguk di air keruh kepentingan dia. Dia patut faham peraturannya betul, sebab orang, Perdana Menteri, siapa pun harus ada suara memberikan pandangan berdasarkan hukum, berdasarkan nasihat daripada Peguam Negara dan peraturan. Itu saya lakukan.

"Tapi kita tahu juga ini berbicara tentang tanggungjawab dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan tentunya harus mengambil kira semua faktor. Kita masih banyak kes-kes yang kita ambil dalam soal rasuah dan agak laju... saya sendiri telah menekankan supaya lebih tegas soal Tabung Haji dan FELDA.

“Jadi jangan kita ambil soal personal satu persatu," tegas beliau pada sidang media penutup di Keralam, petang tadi.

Mengulas dakwaan Pas yang disifatkannya tidak berprinsip, Anwar menyindir sikap parti berkenaan yang pernah mengambil pendirian paling lantang menentang isu rasuah sebelum ini, namun kini bersikap sebaliknya demi kepentingan politik sempit.

"Ini soal Pas ni saya tidak kira sangat, tidak pernah konsisten. Dulu mereka yang paling keras. Bagi saya, saya tidak langsung komen dalam soal ini, tetapi seperti kita tahu ada masih kes berjalan dan kes itu telah mengundang perhatian dunia," ujar beliau.

Perdana Menteri memuktamadkan lawatan kerja selama empat hari ke India (11 hingga 14 September 2026) yang merangkumi New Delhi dan Keralam bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan.

Beliau dijadual meneruskan siri lawatan rasmi merentasi Lautan Hindi menuju ke Malé, Republik Maldives selama dua hari bermula petang ini.

Must Watch Video

Advertisement