KUALA LUMPUR: Kesetiaan yang ditunjukkan oleh parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu dikekalkan dan diterjemahkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi memastikan kemenangan parti tersebut.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, BN diuji dengan erti kesetiaan selepas PRU14 apabila menyaksikan perpecahan dalam parti gabungan tersebut daripada 13 parti komponen kepada hanya empat parti sahaja.

Empat parti tersebut ialah UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

"Ketika mana orang menyebut tentang BN of UMNO atau BN selepas PRU14, tetapi atas kesetiaan ini lah kita bangun semula sedikit demi sedikit, setapak demi setapak meraih kemenangan demi kemenangan dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

"Tetapi tentunya kita tidak alpa dan lupa tentang apa yang berlaku kelmarin," katanya di sini pada Rabu.

Beliau berucap pada Konvensyen BN bertemakan “Kesetiaan dan Kestabilan”, bersempena dengan ulang tahun gabungan parti itu yang ke-48, hari ini.

Berucap lanjut, beliau berkata kesetiaan menjadi tunjang kepada perjuangan BN, selain membuktikan rekod dalam mengekalkan sebuah negara yang aman.

Jelas bekas Menteri Besar Perak itu lagi, kehadiran perwakilan pada konvensyen pada hari ini juga membuktikan bahawa BN masih segar dan relevan dalam negara.

"Mari kita dendangkan kesetiaan dan erti kestabilan ini dalam PRU15. Jangan kita biarkan katak-katak terus melompat dan membuat lompatan khianat mereka.

"Kehadiran hari ini sama ada berada di dalam dewan atau luar dewan dengan sejumlah 5,000 orang membutikan kesetiaan dan komitmen tuan/puan sekalian.

"Dalam perhimpunan bersejarah ini, berada bersama-sama adalah perwakilan negara asing yang datang untuk menyaksikan saat bermakna ini. Ini adalah perwakilan asing pertama kali yang bersama kita selepas PRU14," ujarnya lagi.