Pemimpin yang dicalonkan untuk kerusi Parlimen Temerloh diingatkan supaya tidak menjadikan kawasan itu sekadar batu loncatan untuk menjadi ahli Parlimen sehingga boleh mempermain-mainkan penduduk tempatan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Temerloh Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata wakil rakyat yang menganggap Temerloh sebagai batu loncatan telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kerana tidak pernah memikirkan soal kebajikan rakyat.

Mohd Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang mendakwa, penyandang kerusi Parlimen Temerloh, Ketua Penerangan Pas Nasruddin Hassan Tantawi merupakan salah satu contoh wakil rakyat yang tidak ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab walaupun menerima kepercayaan rakyat.

“Menjadi ahli Parlimen adalah tanggungjawab besar. Apabila kita mendapat platform untuk pergi ke peringkat nasional, kita harus membawa suara masyarakat tempatan, contohnya Temerloh, ke peringkat lebih tinggi.

“Bukannya menggunakan kepercayaan rakyat untuk membantu parti yang dianggotai mendapat lebih kerusi di Dewan Rakyat sahaja,” jelasnya.

Selepas lima tahun

Tambah Mohd Sharkar, wakil rakyat berstatus ahli Parlimen seharusnya memikirkan soal pembangunan kawasan setempat. Masyarakat juga sudah semakin bijak selepas mengalaminya sendiri selama lima tahun kebelakangan ini.

“Sebab itu kita lihat begitu ramai wakil rakyat Pakatan Harapan yang tidak boleh kekal di sesuatu tempat buat suatu masa yang lama.

“Nasruddin tidak boleh bertanding di Temerloh lagi kerana orang Temerloh tidak pernah melihat wajahnya selepas beliau menang kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Beliau gagal melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan oleh pengundi-pengundi di sini,” katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa menghadiri majlis pengebumian jenazah Allahyarham Saleh Haron, bekas Yang Dipertua Persatuan Anak-Anak Semantan (Pintas).

Presiden Pas Datuk Seri Hadi Awang pada awal bulan lalu mengumumkan pencalonan Nasrudin di kerusi Parlimen Indera Mahkota yang mana beliau dijangka akan bersaing dengan bekas seterunya, Setiausaha Agung Keadilan, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Manakala BN pula dijangka akan meletakkan calon wajah baharu yang dikenali sebagai 'Doktor Rakyat', Datuk Dr Johan Mat Sah.

Lima penjuru

Mohd Sharkar yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh turut mengulas kemungkinan pertembungan lima penjuru di Temerloh yang menyaksikan calon baharu dari Pas bagi menggantikan Nasruddin, Yang Dipertua Pas Temerloh, Md Jusoh Darus; Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah) Anuar Tahir; dan dua calon bebas termasuk bekas wartawan Khaidir Ahmad dan seorang pesara kerajaan.

“BN yakin boleh merampas semula Temerloh kerana kita telah melakukan gerak kerja dan menyumbang kepada pembangunan kawasan ini sejak lima tahun yang lalu.

“Kami telah mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nasrudin dan saya yakin masyarakat mampu melihat kebenarannya kali ini,” katana.

Jelas Mohd Sharkar, calon BN mewakili Temerloh pastinya adalah anak tempatan dan bukan calon ‘parachute’ seperti yang dibariskan Pakatan Harapan.