Calon Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) seharusnya berdikari dan tidak terikat dengan sebarang tawaran habuan, kontrak atau projek.

Salah seorang dari tiga calon Ketua AMK, Akmal Nasir menegaskan, ia sekali gus boleh menolak sebarang persepsi rakyat bahawa seseorang individu menyertai politik kerana mengejar habuan.

"Maksudnya, antara benda penting di peringkat AMK, ialah kena pastikan kepimpinan yang menyeluruh, inklusif, daripada atas ke bawah. Dan kedua, soal kebajikan.

"Sebab itu saya kemukakan idea supaya kebajikan ini tidak hanya terikat kepada habuan jawatan, atau kontrak projek dan sebagainya.

"Saya yakin anak muda sebenarnya boleh berdikari dalam soal kita menjawab pertanyaan daripada rakyat. Rakyat sebenarnya menilai supaya ahli politik ini bukan masuk politik sebab hendak mendapatkan habuan.

"Sebab itu dalam soal kita dipilih sebagai wakil rakyat itu, kita sewajarnya memulangkan balik atau mewakili suara rakyat dan mengangkat agenda mereka," katanya semasa debat AMK di Astro AWANI pada Isnin.


Jelasnya, KEADILAN itu sendiri dibina dengan semangat reformasi dan budaya habuan disamakan seperti politik UMNO.

"Jika menunjukkan habuan tawaran, jadi selamanya kamu boleh dibeli sampai bila-bila," ujarnya.

Jelasnya lagi, ahli politik juga perlu berani menegur demi sayang kepada kerajaan dan negara.

Ujarnya, individu juga perlu mengelakkan sifat bercita-cita peribadi melampau dalam perjuangan politik masing-masing.