POLITIK
JPP nafi dakwaan Rafizi, tegas Pemilihan Keadilan 2025 telus dan adil

Senarai keanggotaan yang digunakan adalah senarai terkini yang disahkan melalui proses eKYC sebelum dimuktamadkan sebagai senarai pemilih yang sah.
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menafikan dakwaan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Rafizi Ramli, berhubung pengurusan Pemilihan Parti KEADILAN 2025 yang didakwa tidak telus dan tidak mengambil kira aduan ahli.
Dalam satu kenyataan, JPP menegaskan bahawa segala proses berkaitan senarai pengundi telah dijalankan secara telus mengikut peraturan sedia ada.
Timbalan Pengerusi JPP 2025, Datuk Ahmad Kasim, yang juga Pengerusi Biro Bantahan dan Aduan berkata, senarai keanggotaan yang digunakan adalah senarai terkini yang disahkan melalui proses eKYC sebelum dimuktamadkan sebagai senarai pemilih yang sah.
“Kenyataan yang mendakwa JPP tidak mengendahkan aduan dan bantahan adalah tidak benar dan amat dikesali malah JPP telah memberi perhatian serius kepada setiap aduan yang diterima serta menanganinya secara profesional dan adil."Peraturan pemilihan telah diluluskan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 23 Februari 2025 dan disahkan oleh Biro Politik pada 3 Mac 2025 yang turut dianggotai Rafizi sendiri.
"Peraturan itu menetapkan bahawa sebarang bantahan perlu disertakan bukti mencukupi, dan beban pembuktian terletak kepada pihak yang mengemukakan bantahan," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Ahmad turut mendedahkan bahawa sebanyak 289 aduan diterima sepanjang proses pemilihan melibatkan pelbagai peringkat termasuk pencalonan, rayuan, kempen dan pengundian.
Jelasnya, sebahagian aduan ini telah dirujuk kepada Pejabat Setiausaha Agung dan Lembaga Disiplin Parti untuk tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Setiap aduan diberi maklum balas rasmi, sejajar prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban. Laporan berkala juga telah dibentangkan kepada MPP dan adalah mustahil perkara ini tidak diketahui mana-mana ahli MPP, termasuk saudara Rafizi,” katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, Beliau turut memaklumkan bahawa keputusan bagi enam cabang yang dipertikaikan sedang disemak semula bersama juruaudit antarabangsa, seperti yang diputuskan MPP.
Malah Jelasnya, laporan audit yang disebarkan sendiri oleh Rafizi mengesahkan sistem e-pengundian berada dalam keadaan baik, selamat dan tidak wujud unsur manipulasi atau penyelewengan.
Ahmad turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi JPP 2025, Dr. Zaliha Mustafa, serta seluruh anggota JPP atas komitmen dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawab pemilihan.
“JPP akan terus komited memastikan proses pemilihan parti berjalan dengan adil, bebas, bersih dan telus sehingga selesai sepenuhnya,” katanya.
Pemilihan KEADILAN 2025 dijangka menyaksikan penyusunan semula barisan kepimpinan parti bagi penggal 2025 hingga 2028.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami