Kajian Merdeka Center yang menunjukkan kadar sokongan terhadap Kerajaan PH perlu dijadikan sebagai panggilan amaran supaya tidak mengambil mudah terhadap isu yang dibangkitkan.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, walaupun kerajaan PH baharu 12 bulan mengambil alih pentadbiran negara, namun kajian itu menunjukkan bahawa populariti mereka boleh jatuh dengan mudah.

“Ini adalah satu wake-up call kepada kerajaan supaya memberi tumpuan terhadap isu-isu yang dibangkitkan iaitu kos sara hidup dan hak keistimewaan orang Melayu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

BACA: Tahap sokongan rakyat kepada kerajaan turun 40 peratus - Merdeka Centre

Sivamurugan berkata, data daripada kajian yang dilakukan oleh pusat kajian itu perlu diambil secara signifikan oleh kerajaan bagi memastikan kehendak rakyat dapat dilaksanakan dengan baik.

“Ini kerana sebelum pilihan raya umum yang lalu, PH beritahu jika hapus GST dan digantikan dengan SST harga barang akan turun.

“Tetapi selepas SST diperkenalkan semula, harga barang masih lagi sama dan rakyat mempersoalkan tentang mengapa harga masih belum turun,” ujar beliau.

Merdeka Center dalam dapatan kajiannya mendapati kadar sokongan terhadap kerajaan PH merosot sebanyak 39 peratus berbanding 79 peratus pada 31 Mei 2018 berdasarkan kajian yang dijalankan di seluruh negara pada 5 hingga 11 Mac lalu.

Menurut kajian itu lagi, jumlah pengundi yang berpuas hati terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga didapati menurun daripada 71 peratus pada Ogos 2018, jatuh kepada cuma 46 peratus sahaja.

"Kemerosotan terhadap sokongan awam terhadap pentadbiran kerajaan dapat dilihat apabila pengundi yang berasa negara menuju ke arah yang salah telah meningkat sebanyak 46 peratus pada Mac 2019 berbanding 24 peratus pada Ogos 2018," katanya.

Kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center itu melibatkan 1,204 pengundi berdaftar meliputi 52 peratus kaum Melayu, Cina (29 peratus), India (7 peratus), muslim Bumiputera (6 peratus) dan bukan muslim Bumiputera daripada Sabah dan Sarawak (6 peratus).