Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah memberi keseimbangan masyarakat kepada wakil rakyat di kawasan bandar dan luar bandar.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, ia sekali gus membawa kebaikan dan purata tugas yang sama untuk setiap Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Jelasnya, kajian yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya dipandang positif dan tidak ditolak tanpa fakta yang kukuh.

"Ia hendak seimbangkan bandar dan luar bandar, dalam bandar ramai penduduknya berbanding satu kawasan pilihanraya di luar bandar. Tidak adil kalau hendak diambil kira dari segi bilangan penduduk luar bandar kerana pengundi luar bandar tidak ramai.

"Sistem dibuat ini akan cuba menyeimbangkan di antara wakil rakyat luar bandar dengan bandar. Selain itu persempadanan semula adalah untuk pembangunan seimbang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

SPR mula mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah selama sebulan bermula Khamis lalu sehingga 14 Oktober ini.

Dalam pada itu kata Atory, kajian itu tidak akan dilaksanakan tanpa mendapat undi dua pertiga di Parlimen.

"SPR memerlukan persetujuan Parlimen. Kalau ikut Perlembagaan kena dapatkan majoriti dan jika tidak, susah juga.

"Apa yang dibuat SPR adalah mencadangkan, ia belum muktamad dan rakyat berhak menyuarakan bantahan," ujarnya.

Jelasnya, cadangan itu dilihat mendapat banyak bantahan kerana parti pemerintah tidak mempunyai suara majoriti di Parlimen.

"Kali ini banyak bantahan dan kritikan daripada parti pembangkang. Itu masalah kepada Barisan Nasional (BN) yang tidak mempunyai suara majoriti kini di Parlimen," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah berkata, pihaknya menyangkal dakwaan bahawa kajian itu dibuat untuk kepentingan pihak tertentu.

Tegasnya, pihaknya telah menjalankan peranan dan tanggungjawabnya sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.