KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen pembangkang hari ini mempertahankan tindakan mereka tidak hadir Sidang Dewan Rakyat pada sebelah pagi.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal antaranya berkata, ketidakhadiran kebanyakan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) adalah kerana menghadiri Himpunan Selamatkan Syariah di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya.

"Kami selalu hadir dalam Dewan ini, walaupun pagi tadi kami ke Istana Kehakiman untuk memberikan sokongan dan soladiri kepada hukuman syariah tetapi kami dikatakan ponteng... sebenarnya tak ponteng," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan (KKM).

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, kemudian bangkit mempersoalkan adakah ketidakhadiran beberapa menteri penuh juga boleh disifatkan sebagai ponteng.

"Kalau dikatakan ponteng, bolehkah katakan menteri penuh yang tak hadir kecuali Menteri Kesihatan ini ponteng pada masa ini?," soalnya.

Syed Abu Hussin menambah: "Pasir Mas (Ahmad Fadhli), menteri mungkin sibuk untuk mengagihkan peruntukan."

Terdahulu, Dewan Rakyat sedikit kecoh susulan ketidakhadiran hampir semua ahli Parlimen pembangkang ketika sesi soal jawab lisan.

Isu itu dibangkitkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, ketika sesi pertanyaan untuk soalan kelima dikemukakan Datuk Ramanan Ramakrishnan (PH-Sungai Buloh).

Susulan ketiadaan Ahli Parlimen, Johari kemudian membuka peluang untuk soalan tambahan berikutan soalan dikemukakan ahli Parlimen pembangkang tidak akan dijawab pada sesi itu susulan kegagalan mereka hadir.

Media melaporkan, lebih 1,000 orang hadir Himpunan Selamatkan Syariah dan sertai solat hajat di perkarangan Istana Kehakiman, pagi tadi.

Perhimpunan anjuran PN itu bagi membantah tindakan dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.