DUDONG: Berdasarkan cerita nenek moyang dan penduduk terawal yang tinggal di Kampung Banyok, penempatan minoriti masyarakat Melanau di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong, Sibu itu sudahpun berusia lebih 200 tahun.

Terletak hanya 30 minit daripada bandar Sibu, Kampung Banyok dipisahkan oleh Sungai Rajang dan kemudian dihubungkan menggunakan Jambatan Lanang yang telah siap pada tahun 2006 lalu bagi menggantikan perkhidmatan feri sedia ada.

Berbanding zaman 40an yang lalu, bilangan penduduk di Kampung Banyok ketara bertambah daripada sembilan buah rumah kepada lebih 20 buah rumah yang kini dihuni lebih 500 orang penduduk berbilang bangsa, dan umur.

Bercerita lanjut sejarah Kampung Banyok, Ketua Kampung Hanafi Gesah, 72, berkata, sejak dia lahir, pembangunan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya telahpun dilaksanakan secara berperingkat.

“Saya lahir tahun 1949, dan daripada itu selepas negara mencapai kemerdekaan 1957, setiap pembangunan segera dilaksanakan walaupun ambil masa namun ianya bejaya disiapkan demi keselesaan penduduk Melanau di sini.

“Kerajaan membina semua kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya termasuklah surau, balai raya, dan  sekolah untuk kami meningkatkan taraf hidup penduduk khasnya golongann kanak-kanak,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Kampung Banyok baru-baru ini. 

Namun di sebalik kenikmatan yang sedang dirasai itu, kehidupan penduduk sebenarnya dihantui oleh fenomena hakisan sungai yang semakin membimbangkan sejak puluhan tahun lalu.


Sebahagian tebingan sungai yang telah terhakis dari bergelombang  yang dihsailkan kapal-kapal besar di sepanjang Sungai Rajang. - Astro AWANI


Jelas Hanafi, sedari kecil, beberapa keluarga  termasuk dirinya terpaksa berpindah ke kawasan yang lebih jauh dari tebing kerana lokasinya tidak lagi selamat dan rumah mereka roboh dihempas gelombang.

“Rumah ini adalah kediaman ketiga saya selepas lokasi yang pertama dan kedua hilang akibat hakisan yang berlaku puluhan tahun lalu, walaupun ada pokok pedada yang tumbuh di tepi sungai ini namun belum cukup menahan kekuatan gelombang daripada kapal-kapal besar.

“Kapal-kapal pasir akan lalu di Sungai Rajang ini hampir setiap hari tanpa henti dan ada antaranya mengakibatkan tanah susur apabila kapal tersebut berlabuh di pinggiran sungai berhampiran kampung ini,” katanya.

Permasalahan itu sebelum ini disuarakan berulang-ulang kali oleh penduduk kepada pihak bertanggungjawab namun belum mendapat perhatian ataupun tindakan yang nyata di lapangan.

Bagi pesara kerajaan, Ahmad Yusuf, 66, mereka telah bermesyuarat dan meminta agar sebuah projek tebingan sungai dan tebatan banjir dilaksanakan di kampung tersebut dengan segera.

“Bila siap benteng sungai ini kelak, kesannya sangat besar dan mendalam buat kami yang tinggal di sini, kami tidak lagi perlu resah memikirkan nasib penduduk yang tinggal di tebingan sungai dan meneruskan pelan pembangunan di kampung ini tanpa sebarang masalah,” katanya.


Kawasan tebingan yang dahulunya ada rumah penduduk namun terpaksa dipindahkan akibat sudah terlalu hampir dengan kawasan sungai.  - Astro AWANI


Sementara, Hanapiah Ahmad, 36, antara generasi baharu yang bakal menetap di kampung tersebut berharap projek benteng sungai dan tebatan banjir itu dapat dilaksanakan segera sekaligus menyelesaikan isu banjir yang masih berlaku sehingga ke hari ini.

“Saya baru balik kampung selepas dua tahun bekerja di semenanjung, dan sebagai generasi baharu, ramai anak-anak di sini yang memilih untuk kerja atau tinggal di luar kerana kawasan ini selalu banjir, dan masalah hakisan mengakibatkan tanah di kampung ini mendap,” katanya.

Untuk lima tahun akan datang selepas terbentuknya kerajaan baharu, mereka berharap dan sentiasa menaruh harapan yang tinggi agar projek tersebut dapat direalisasikan supaya warisan terakhir masyarakat Melanau di Dudong itu tidak tenggelam ditelan Sungai Rajang.

Dalam pada itu, permohonan dan proposal untuk projek tersebut telahpun diajukan kepada pihak tertentu antaranya melibatkan Majlis Perbandaran Sibu (MPS), dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).

Projek tersebut juga telah sampai ke pengetahuan dan pemerhatian lanjut Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN Dudong dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN) Sarawak.

Terdahulu Ahli Parlimen Bintulu itu mendedahkan kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan RM6 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuat kajian di Sungai Rajang dan Sungai Igan bagi mencari penyelesaian masalah banjir di Sibu khususnya dalam kawasan Dudong.