SHAH ALAM: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa bahawa kaum Melayu merupakan bangsa yang tidak rasis, walaupun dipaksa oleh penjajah untuk menerima jus soli sebagai syarat kemerdekaan.

Beliau berkata, menerusi syarat berkenaan, orang Melayu perlu menerima kaum Cina dan India menjadi warganegara.

“Ada yang cuba menggambarkan kalangan bangsa Melayu itu rasis, tanpa melihat wajah yang sebenar di lapangan, namun pengaruh Islam dalam diri kaum ini (Melayu) boleh menerima kewujudan komuniti lain di tengah-tengah mereka.

“Hal ini dapat dilihat keluarga bukan Islam seperti Cina dan India dengan kelompok kecil bebas untuk berniaga, bertani dan beragama. Hanya mereka sahaja yang buta akal menuduh Melayu bersikap rasis,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook pada Rabu.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Marang itu berkata, negara juga membenarkan setiap kaum menggunakan bahasa masing-masing sehingga sekolah jenis kebangsaan dibuka.

Bukan itu sahaja, beliau turut memaklumkan bahawa kebebasan juga diberikan untuk menyebarkan akhbar dengan menggunakan bahasa kaum.

Sementara itu, Abdul Hadi meminta orang bukan Islam untuk menghargai sumbangan negara dalam memberikan tempat kepada mereka.

“Mereka wajib menerima hakikat bahawa kebanyakan negara di dunia tidak memberikan tempat kepada sesiapa yang bukan penduduk asal dan tidak menganut ideologi negaranya.

“Namun sebaliknya Islam memberikan hak yang adil kepada penduduk bukan Islam yang tidak menganut Islam menjadi aqidah negara,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kedudukan Islam yang dianuti oleh rumpun Melayu tidak boleh dicabar dengan sewenang-wenangnya malah sikap toleransi patut diberikan kepada bangsa itu. -- Sinar Harian