Tan Sri M. Kayveas sah dilucutkan jawatan Presiden MyPPP dan digantikan Datuk Seri Maglin Dennis D'Cruz.

Dalam satu sidang media hari ini, Maglin berkata keputusan itu telah dipersetujui dan disahkan sebulat suara semasa mesyuarat agung tahunan MyPPP ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

"Ini adalah mesyuarat agung yang sah dengan kehadiran 1,236 perwakilan dari seluruh negara. Mesyuarat bersetuju mengiktiraf saya sebagai presiden yang sah manakala Datuk Loga Bala Mohan akan menyandang jawatan Naib Presiden Kanan MyPPP,” katanya.

Maglin juga menegaskan parti itu kekal bersama Barisan Nasional (BN) meskipun Kayveas semalam mengumumkan MyPPP bukan lagi sebahagian daripada BN.

"Apa yang dikatakan Kayveas hanya pandangan peribadi dan tidak mewakili parti kerana beliau telah dipecat dan dilucutkan keanggotaannya," katanya.

Sementara itu, Loga Bala berkata keputusan melucut dan melantik presiden baharu telah dibuat mengikut perlembagaan parti dan pihaknya akan menghantar dokumen mesyuarat dan senarai pelantikan baharu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dalam masa terdekat.

"Kita diberi tempoh 60 hari dari tarikh mesyuarat agung diadakan untuk menghantar dokumen kepada RoS dan dalam perjumpaan bersama RoS beberapa hari lepas, mereka (RoS) telah mengarahkan MyPPP untuk mengadakan mesyuarat agung hari ini," katanya.

Sebelum ini, MyPPP dilanda konflik dalaman selepas parti itu memecat Kayveas daripada jawatan presiden, namun beliau menganggap pemecatan itu tidak sah dengan mendakwa ada menerima surat rasmi RoS mengesahkan beliau ialah presiden MyPPP.

-- BERNAMA