PUTRAJAYA: Persidangan Kebangsaan DAP yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini bermula tepat jam 10 pagi hari ini.
Sejumlah perwakilan mengambil tempat di dewan utama untuk mendengar ucapan perbahasan daripada pucuk pimpinan utama parti.
Sebelum ini, media melaporkan, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook akan membentangkan usul sama ada parti akan kekal atau tidak dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat tempoh.
Difahamkan, seramai 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan yang layak untuk menghadiri persidangan akan mengundi usul berkenaan.
Persidangan kali ini turut berlangsung dengan latar politik yang menyaksikan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh kebelakangan ini memberikan keputusan berbeza kepada parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Pada PRN Sabah November lalu, Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi satu daripada 73 kerusi DUN, manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) muncul blok terbesar dengan 29 kerusi, diikuti Warisan dengan 25 kerusi.
Terbaharu di Johor bulan lalu, Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar apabila menguasai 48 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH memperoleh lapan kerusi. Daripada jumlah itu, DAP memenangi enam kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu.
Sementara itu, pada PRN Negeri Sembilan, PH menerusi DAP memenangi 11 kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi DUN.