POLITIK
Keluar UMNO: Kedudukan Tengku Zafrul sebagai menteri tak terjejas - PM Anwar

Perdana Menteri menegaskan kedudukan Tengku Zafrul sebagai Menteri MITI tidak terjejas kerana prestasi cemerlang beliau dalam menarik pelaburan ke negara. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kedudukan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai menteri dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan tidak terjejas.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kedudukan Tengku Zafrul sebagai Menteri MITI tidak terjejas kerana prestasi cemerlang beliau dalam menarik pelaburan ke negara.
- Walaupun Tengku Zafrul telah keluar dari UMNO dan menyatakan hasrat menyertai PKR, Anwar menyatakan belum ada perbincangan rasmi mengenai penyertaannya dalam parti tersebut.
- Susulan peletakan jawatan Tengku Zafrul dalam UMNO, Presiden UMNO Zahid Hamidi meminta agar kuota tujuh menteri penuh UMNO dalam Kabinet dikembalikan.
"Dalam soal kedudukan menteri itu tak terjejas. Kita mahu dia teruskan tugas kerana prestasi beliau sebagai Menteri MITI (adalah) baik dan negara memerlukan sumbangan beliau," kata perdana menteri.
Beliau ditemui media pada Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Menurut Anwar, Tengku Zafrul diakui menjalankan tugas dengan baik, dengan ratusan bilion pelaburan dibawa ke dalam negara.
Pada masa sama, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, setakat ini belum ada perbincangan mengenai permohonan Tengku Zafrul untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Kita biar dulu dia (Tengku Zafrul) tunaikan ibadah haji, didoakan dia memperoleh haji mabrur.
“Tak perlu perbanyakkan tafsiran yang tidak sihat, orang itu sudah ambil keputusan dan kita hormat dengan keputusan dia.
“Bagi pihak PKR, tentulah kita kena bincang dengan rakan-rakan dan fikir sebaiknya,” ujarnya.
Pada Jumaat, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, dan ahli UMNO.
Tengku Zafrul berkata, beliau telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.
Susulan tindakan Tengku Zafrul itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta agar Perdana Menteri dapat mengembalikan semula kuota tujuh menteri penuh di dalam Kabinet Persekutuan kepada UMNO.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami