KUALA LUMPUR: Keputusan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, akan dirujuk kepada kepimpinan tertinggi parti untuk penelitian lanjut.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan yang diumumkan ADUN-ADUN terbabit merupakan keputusan di peringkat negeri dan kepimpinan pusat akan meneliti implikasi politik susulan perkembangan berkenaan.
Advertisement
“Keputusan itu dibuat oleh ADUN-ADUN UMNO di Negeri Sembilan, namun ia akan dirujuk dan diputuskan apabila dibawa ke Biro Politik serta Majlis Tertinggi UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Wawancara Eksklusif Bersama Presiden UMNO di WTC, ibu negara pada Isnin.
Menurut beliau, UMNO lazimnya menghormati dan menyantuni keputusan yang dibuat di peringkat perhubungan negeri, namun perkara itu perlu diteliti secara menyeluruh termasuk kesan politik yang mungkin timbul.
Zahid berkata, kepimpinan parti juga sedia mengadakan pertemuan dengan ADUN-ADUN terlibat dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung keputusan berkenaan.
“Kita akan melihat semua aspek dan meneliti apakah implikasi politik daripada keputusan yang mereka umumkan itu,” katanya.
Beliau turut mengaitkan tindakan tersebut dengan isu melibatkan institusi adat serta Undang-Undang Tubuh Negeri yang menurutnya menjadi antara faktor mendorong keputusan berkenaan.
BN Negeri Sembilan dalam satu sidang media pagi tadi mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata keputusan itu dibuat secara sebulat suara melibatkan kesemua 14 ADUN UMNO/BN susulan krisis adat yang sedang berlaku di negeri berkenaan.