Kemelut Pas-Bersatu: Kepimpinan tanpa titik penyatuan, kuasa jadi rebutan - Ilham Centre

Perkembangan mutakhir itu tidak boleh dianggap sekadar peralihan kepimpinan biasa, sebaliknya mencerminkan fasa yang lebih mencabar buat Perikatan Nasional. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Krisis dalaman Perikatan Nasional (PN) semakin meruncing apabila ketiadaan tokoh yang mampu berperanan sebagai penyatu susulan pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada kepimpinan gabungan itu.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar berpandangan, tekanan yang diterima Presiden Bersatu itu membuktikan bahawa tiada individu lain ketika ini memiliki keupayaan menyatukan Pas dan Bersatu dalam situasi ketika ini.
“Bayangkan dengan pemimpin yang mempunyai pengalaman besar seperti Tan Sri Muhyiddin pun diherdik dan diberikan tekanan. Saya tidak nampak individu yang mempunyai kelebihan menyatu dalam kemelut yang makin tegang antara Pas dan Bersatu,” katanya dalam Pantau Agenda Reformasi pada Selasa.
Menurut beliau, pengunduran tokoh utama itu tidak menyelesaikan masalah asas PN, sebaliknya mendedahkan keretakan struktur hubungan antara parti-parti komponennya yang gagal ditangani sejak awal.
Hisomudin turut melihat konflik berpanjangan itu berpunca daripada kegagalan PN berfungsi sebagai platform rundingan bersama, apabila isu-isu kritikal tidak dibincangkan secara telus dan berkesan dalam mesyuarat gabungan.
Dalam konteks lebih luas, beliau berpandangan naratif penyatuan Melayu-Islam yang selama ini menjadi asas sokongan PN kini berdepan cabaran serius apabila kepentingan politik mula bertembung.
“Maka, pengundi Melayu akan menilai bahawa tema penyatuan Melayu-Islam itu rupanya retorik apabila telah bersatu, kepentingan mengatasi segala-galanya," ujarnya.
Menurut beliau, persepsi sedemikian berisiko menjejaskan kepercayaan pengundi terhadap PN, khususnya dalam kalangan penyokong teras yang sebelum ini meletakkan harapan tinggi terhadap agenda penyatuan politik Melayu.
Beliau berkata konflik dalaman yang tidak terkawal itu turut membuka ruang strategik kepada UMNO dan Kerajaan Perpaduan untuk menyusun semula kekuatan politik mereka, sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.
Tambah Hisomudin, peluang itu bukan sahaja terhad di Perlis, malah melibatkan keseluruhan 74 kerusi Parlimen yang dimenangi PN dalam pilihan raya umum lalu, sekiranya perpecahan dalaman terus berlarutan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan perkembangan mutakhir itu tidak boleh dianggap sekadar peralihan kepimpinan biasa, sebaliknya mencerminkan fasa yang lebih mencabar buat gabungan berkenaan.
“Saya melihat perkembangan yang berlaku mutakhir ini bukanlah fasa peralihan, tapi bagi saya adalah fasa yang menuju kepada pergolakan yang lebih besar sebenarnya di dalam Perikatan Nasional,” katanya.
Beliau menyimpulkan, keupayaan kepimpinan baharu untuk meredakan ketegangan dan membina semula kepercayaan antara parti-parti komponen akan menjadi penentu sama ada PN mampu kekal relevan sebagai blok pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


