Calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Sabtu malam dibantu undi majoriti daripada golongan muda.

Ia sekali gus menunjukkan kekecewaan orang muda yang amat sensitif dengan keadaan sekitar terutamanya apabila terpesona dengan janji-janji yang ditaburkan oleh kerajaan hari ini.

“Kita amat gembira sekali melihat keputusan pilihan raya Rantau ini. Ia jelas menunjukkan bahawa saluran orang muda yang beri banyak majoriti kepada kemenangan BN hari ini.

“Orang muda ini dinamik dan mereka amat sensitif dengan keadaan sekitar terutamanya apa yang berlaku kepada tanah air.

“Mereka sedar dan terpesona dengan janji-janji yang ditaburkan. Kini tidak ada satu pun yang dapat dilaksanakan oleh kerajaan maka mereka amat kecewa dan inilah kita punya referendum melalui peti undi pada PRK kali ini,” katanya pada Sabtu malam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.

Timbalan Presiden UMNO itu memberitahu, selepas ini BN akan menjadi orang yang menyemak prestasi parti kerajaan Pakatan Harapan.

“Kita tahu terdapat banyak kelemahan yang ketara dalam pentadbiran negara sekarang.

“BN boleh mainkan peranan penting sebagai parti yang akan membantu untuk menegur dan memberitahu kerajaan hari ini bahawa mereka tidak dapat mentadbir dengan baik,” katanya.