Skip to main content

Politik

'Kenyataan pahit perlu ditelan' - AMK akui gagal lahirkan tokoh setanding Onn Hafiz di Johor

MELAKA, 14 Ogos -- Ketua Angkatan Muda Keadilan, Kamil Munim bercakap pada sidang media ketika Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, dominasi kepimpinan kerajaan negeri sedia ada di Johor merupakan satu "kenyataan pahit yang perlu ditelan" akibat ketiadaan watak alternatif yang mampu duduk setara dalam meyakinkan rakyat. - Foto BERNAMA
Advertisement

AYER KEROH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) secara terbuka mengakui kegagalan sayap parti itu dalam melahirkan tokoh muda berwibawa di Johor sehingga memberi laluan kepada kemenangan besar Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, dominasi kepimpinan kerajaan negeri sedia ada di Johor merupakan satu "kenyataan pahit yang perlu ditelan" akibat ketiadaan watak alternatif yang mampu duduk setara dalam meyakinkan rakyat.

Jelas beliau, dalam tempoh hampir empat tahun pasca-Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, parti dilihat belum berjaya memposisikan barisan kepimpinan muda yang kompeten bagi menyaingi ketokohan sedia ada di peringkat negeri.

"Onn Hafiz menang besar di Johor. Ini kenyataan pahit yang kita perlu telan. Menang bergaya di Johor kerana kita gagal melahirkan seorang watak dan tokoh yang mampu duduk setara dengan Onn Hafiz di Johor!

"Jadi kita nak salahkan siapa? Kita dah ada amanah, kita dah ada ruang diberikan, kita ada ketua-ketua yang kita lantik, yang bertanding, yang dipilih... buat kerjalah! Jalankan tugas! Jalankan amanah!" katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional AMK, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menyelar sikap segelintir pimpinan dan jentera parti yang terlalu yakin menjelang pilihan raya, namun longlai dari segi persiapan asas di peringkat akar umbi.

Mengambil iktibar daripada pengalaman pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan, beliau menegaskan kelemahan mengurus struktur asas seperti Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan ketiadaan data pengundi (cula) menjadi punca kegagalan parti.

"Sebelum bertanding kata 'Ya! Boleh menang! Kalau bertanding bebas pun saya menang!' Tapi bila turun ke bawah, tidak seindah apa yang diungkapkan.

"Dua minggu sebelum hari mengundi, bila ditanya ke mana, 'tengah buat cula'. Cula apa nama dua minggu sebelum hari mengundi?! This is madness! Doing the same thing over and over and expecting different results!" tegasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan barisan kepimpinan AMK di semua peringkat bahawa populariti di media sosial atau kedudukan jawatan semata-mata tidak lagi menjamin undi rakyat sekiranya gagal menawarkan khidmat di peringkat komuniti.

Sebaliknya, jentera parti digesa menguasai isu tempatan dan menyantuni masyarakat secara berterusan melalui khidmat asas, ziarah kebajikan, serta menjalinkan hubungan rapat dengan institusi masyarakat setempat.

Menurutnya, pengundi hari ini lebih menilai keperibadian, budi pekerti, dan kesungguhan pemimpin menyelesaikan masalah harian rakyat berbanding sekadar bergantung kepada naratif politik di peringkat nasional.

 

Must Watch Video

Advertisement