Muktamar PAS adalah peringkat pembuat keputusan tertinggi dan sebarang ketetapan yang dibuat olehnya adalah bersifat muktamad.

Ini pendapat Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang berkata keputusan Muktamar yang merupakan keputusan tertinggi, adalah amalan mana-mana parti politik.

"Kalau Parti Keadilan Rakyat (PKR) pun, apa yang diputuskan dalam Kongres itulah keputusan muktamad.

"Dalam DAP pun apa yang diputuskan dalam Konvensyen DAP itulah muktamad.

"Saya percaya itu juga menjadi amalan yang sepatutnya dalam sistem demokrasi di mana apa yang ditentukan Kongres atau Muktamar adalah keputusan yang patut dipatuhi oleh semua pihak," katanya di satu sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Pembiayaan HIJRAH Selangor, di sini, hari ini.

Namun demikian, Timbalan Presiden PKR itu menegaskan bahawa itu adalah pendirian am beliau dan bukannya pendirian PKR.

Muktamar Dewan Ulama sebelum ini telah meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP tanpa perlu dibahaskan, tetapi mahu kekal dengan Pakatan Rakyat (PR).

Walau bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali baru-baru ini berkata ianya masih belum muktamad kerana terletak kepada keputusan Majlis Syura.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai penubuhan parti politik baru Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), untuk mengantikan PAS dalam PR, Mohamed Azmin berkata ideologi dan objective PasMa perlu diketahui terdahulu.

"Kita perlu tahu ideologi PasMa. Kita perlu tahu objektif PasMa.

"Kami tidak diberitahu. Biarlah kita dengar dari PasMa," katanya.

Mohamed Azmin juga mengulangi kenyataannya semalam bahawa dalam sistem demokrasi, mana-mana pihak boleh tubuhkan parti atau badan bukan kerajaan (NGO).

"Itu hak dia hendak tubuhkan parti. Dalam sistem demokrasi mana-mana individu boleh tubuhkan parti atau NGO. Itu hak sebagai rakyat Malaysia.

"Namun sekiranya PasMa berhasrat untuk bersama PR, kita juga ada satu dasar yang berkata, mana-mana badan yg ingin bersama PR, dia kena terima dasar bersama Pakatan Rakyat atau 'common policies framework'.

"Sebab itu kita mahu pastikan memperkukuhkan PR di masa hadapan dengan menjamin bahawa anggota PR terikat dengan kerangka polisi bersama atau 'common policies framework' Pakatan Rakyat.