KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan akan melaksanakan 'post mortem' untuk memahami lebih mendalam terhadap keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, hari ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata, Kerajaan Perpaduan juga menghormati keputusan rakyat menerusi PRN itu selain meneliti setiap aspek yang perlu di tambah baik termasuk ramalan keputusan yang dibuat oleh firma kajian sebelum ini.

"...banyak kaji selidik telah melaporkan ramalan keputusan dan mempunyai banyak data tambahan, jadi kita akan ambil semua data untuk kita teliti termasuklah data peratusan keluar mengundi.

"Kita juga akan lihat dan teliti usaha pihak kerajaan Persekutuan dalam menyantuni dan menyelesaikan masalah rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengumuman keputusan PRN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, malam tadi.

Sementara itu, ditanya mengenai penyertaan parti MUDA yang dikatakan memecahkan undi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, Fahmi akui perkara itu agak menyedihkan.

"Saya perlu tengok angkanya dahulu. Saya rasa satu kerusi sangat tipis iaitu Sungai Kandis. Ini salah satu daripada beberapa penganalisis dan pemerhati politik perhatikan.

"Saya sedih kerana pecahan undi telah membolehkan PN ((Perikatan Nasional) menang kerusi itu. Bagaimanapun, saya tidak bersedia untuk memberikan lebih komen mengenainya buat masa ini," katanya.

Kerusi DUN Sungai Kandis di Selangor menyaksikan calon PN, Wan Dzahanurin Ahmad menang dengan 28,926 undi, menewaskan calon PH, Mohd Zawawi Ahmad Mughni (28,759 undi) dan calon MUDA, Afriena Shaqira Sariff (1,341). - BERNAMA