Kerajaan DAP Pulau Pinang diminta menjelaskan mengenai penangguhan projek Business Processing Outsourcing Prime (BPO Prime) dan Taman Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (PITP) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM11.3 bilion.

Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata penangguhan pelaksanaan projek itu untuk satu tempoh masa yang tidak ditentukan boleh dianggap sebagai membatalkan hasrat untuk meneruskan projek berkenaan.

"Menurut laporan artikel sebuah portal, projek ini ditangguhkan untuk satu tempoh yang tidak dapat dinyatakan dengan alasan kekurangan permintaan untuk kondominium berkualitu tinggi.

"Alasan yang diberikan agak menghairankan kerana projek BPO dan PITP ini sepatutnya dibangunkan dengan tujuan utama sebagai hab perniagaan untuk penyumberan luar perniagaan dan bukannya satu projek pembinaan perumahan atau kondominium mewah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, sebuah portal berita ekonomi melaporkan projek hartanah di Bayan Baru, di sini yang dijangka siap pada 2019 itu ditangguhkan kerana situasi semasa pasaran hartanah.

Pada Mei 2014, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Temasek memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan hasrat untuk membentuk syarikat usaha sama bagi membangunkan BPO Prime dan PITP.

BPO Prime akan terletak di kawasan komersil utama yang merupakan sebahagian daripada Bandar Siber Koridor Raya Multimedia Pulau Pinang (Fasa 1) yang diperuntukkan bagi perniagaan teknologi dan infokomunikasi.

Economic Development Innovations Singapore Pte Ltd (EDIS) merupakan Pengurus Pembangunan Induk projek itu, menyediakan perkhidmatan pengurusan projek kepada syarikat usaha sama itu.

Zainal Abidin berkata penarikan diri sebuah syarikat pelaburan dari Singapura, Temasek Holdings, daripada meneruskan pelaburan di Pulau Pinang juga tamparan hebat kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Beliau berkata permintaan tempatan untuk kondo mewah seharusnya tidak memberi kesan kepada projek itu kerana sasaran kelompok pembeli yang berbeza.

Justeru, katanya, kerajaan negeri perlu memberi penjelasan sama ada penangguhan itu disebabkan lebihan unit-unit perumahan mewah di Pulau Pinang atau pelabur sudah hilang keyakinan untuk meneruskan pelaburan di negeri itu.

-- BERNAMA