Keputusan Majlis Syura Ulama PAS untuk tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan UMNO adalah langkah terburu-buru yang merugikan usaha penyatuan Melayu di negara ini.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, keputusan itu membuktikan PAS terlalu oportunis dan hanya mementingkan agenda politik semata-mata.

"Mendukacitakan kerana PAS mengambil sikap menolak salam perpaduan yang dirintis oleh UMNO menerusi keyataan terbuka Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.

"Najib membuat kenyataan terbuka untuk bekerjasama dengan PAS demi kepentingan umat Islam semasa menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog http://umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan Majlis Syura Ulama PAS sudah membuat keputusan untuk tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan UMNO.

Kata Syed Ali lagi, keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang mengambil tindakan menolak salam perpaduan yang dihulurkan oleh UMNO dilihat sebagai tindakan terburu-buru dan merugikan misi penyatuan umat.

"UMNO realistik dan ikhlas untuk melihat orang Melayu dan umat Islam bersatu menerusi bentuk kerjasama itu, tetapi malangnya PAS bertindak sebaliknya.

"Keputusan Majlis Syura Ulama PAS itu tidak mencerminkan prinsip asas parti itu yang kononnya berjuang atas landasan Islam," jelasnya.

Timbang semula

Bagaimanapun Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berharap kepimpinan PAS akan menimbang semula keputusan tersebut kerana UMNO sememangnya ikhlas untuk menjalin kerjasama dengan parti itu.

"Ia demi kepentingan dan masa depan orang Melayu khususnya umat Islam di negara ini. Majlis Syura Ulama PAS sepatutnya terlebih dahulu mengadakan pertemuan atau perbincangan tidak rasmi dengan UMNO sebelum membuat sebarang keputusan yang dilihat tidak menguntungkan kepada perkembangan politik orang Melayu.

"Namun UMNO menghormati keputusan yang diputuskan PAS kerana UMNO bukan parti picisan yang perlu merayu untuk menjalin kerjasama dengan parti berkenaan.

"Kita hormati keputusan PAS, tetapi perlu ditegaskan bahawa UMNO merupakan parti terbesar mewakili orang Melayu dan UMNO masih berkeupayaan untuk membentuk kerajaan yang dinamik menerusi gagasan BN," tegasnya.

Perkembangan terbaru itu, tambah Syed Ali, membuktikan PAS tidak pernah ikhlas untuk menzahirkan perpaduan di kalangan umat Islam dan orang Melayu berasaskan kepada semangat politik.

"Jelas mereka tidak mempunyai iltizam untuk berusaha membawa penyatuan umat berasaskan kepentingan masa depan orang Melayu," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Syed Ali memberitahu usaha Pakatan Harapan yang akan memeteraikan perjanjian bersama membabitkan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), Sabtu ini tidak akan memberi sebarang impak kepada kekuatan UMNO.

"Tidak ada apa, Pakatan Harapan seperti juga Pakatan Rakyat sebelum ini yang akhirnya berkecai kerana ideologi politik parti-parti gabungan tersebut tidak menjuruskan kepada kepentingan rakyat.

"Pakatan Harapan sekadar episod ulangan daripada Pakatan Rakyat yang didominasi DAP untuk memecahbelahkan penyatuan politik orang Melayu.

"Yang jadi perkakas dan keldai politik daripada kerjasama itu ialah PKR dan Amanah, yang akhirnya memberi keuntungan kepada DAP," katanya.