Pemuda UMNO Kedah menyarankan agenda kerjasama politik di antara PAS dan UMNO bukanlah keutamaan yang perlu ditumpukan oleh UMNO pada masa ini.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, paling penting kini menyelesaikan 'aku janji' pilihan raya dan memperkemaskan gerak kerja jentera di peringkat parti.

"UMNO tidak boleh mengharapkan kemenangan hasil daripada kelemahan dan perpecahan pihak lawan.

"Kita yakin UMNO sebagai sebuah kerajaan perlu membuat kerja-kerja mentadbir serta memberi penumpuan penuh kepada rakyat," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Kerjasama perpaduan UMNO dan Pas perlu liputi semua peringkat - Tok Pa

BACA:
Jika PAS enggan, Tun Mahathir redha pertembungan 3 penjuru

Pada pilihanraya umum ke-13 (PRU-13) lepas, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan manifesto Barisan Nasional (BN) bukan hanya sekadar manifesto, tetapi satu dokumen 'aku janji' kepada rakyat.

Jelas Datuk Seri Najib, pada pilihanraya yang lalu rakyat memberi mandat dan kepercayaan kepada UMNO dan rakyat yakin UMNO dan Barisan Nasional mampu menggalas tanggungjawab mereka sebagai sebuah kerajaan.

Dalam pada itu Shaiful menyeru agar jentera parti dan ahli-ahli parti tidak terlalu terbawa-bawa dengan agenda kerjasama politik yang belum pasti.

"Hakikatnya ahli UMNO perlu yakin dengan kepimpinan yang sedia ada dan pada masa yang sama memperkuatkan parti daripada dalam.

"Ia bagi memastikan parti berada di dalam keadaan yang lebih bersedia bagi menghadapi PRU yang akan datang.

"Kerjasama politik yang mungkin bakal terjadi boleh dianggap sebagai 'bonus politik' dan bukannya sebagai agenda tetap parti sebagai menambah kekuatan parti pada PRU," tegasnya.

Bagaimanapun Shaiful menjelaskan, Pemuda UMNO Kedah menyedari bahawa telah wujud satu kematangan politik yang tinggi di antara kedua-dua parti.

"Konsep kerjasama tidak perlu semata-mata ditakrifkan daripada ruang lingkup politik tetapi ianya melibatkan keperluan dan persefahaman yang bersifat 'ummah'.

"Perjuangan memperkasa Rang Undang-Undang Persendirian bagi memperkasa Mahkamah Syariah (RUU 355) dan misi kemanusiaan adalah satu permulaan yang baik dan wajar diteruskan," katanya.

Shaiful turut menyarankan agar parti sentiasa bersedia dan mempersiapkan diri bagi kemungkinan satu lawan satu pada pilihanraya akan datang.

"Kita tidak seharusnya memasang angan-angan akan wujudnya pertandingan tiga penjuru untuk menang dalam pilihanraya.

"Bagi Pemuda UMNO Kedah tumpuan perlu dibuat terhadap gerak kerja mempersiapkan kesiagaan jentera.

"Kebimbangan Pemuda Kedah adalah kita bakal terperangkap dalam permainan 'politik yang tidak menguntungkan," ujarnya.