Kemelut pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah berlarutan lagi pada pagi ini selepas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dilaporkan mengadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri hari ini.

Dalam pertemuan jam 10 pagi itu, beliau difahamkan meluangkan masa hampir setengah jam di istana sebelum keluar semula bersama rombongannya.

Selain Musa, turut hadir dalam pertemuan berkenaan adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman dan Peguam Besar Negeri Zaleha Rose Pandin.

Menurut sumber, rombongan Ketua Menteri itu kemudiannya bergerak ke Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) untuk mengadakan mesyuarat namun intipatinya masih belum diketahui oleh pengamal media.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Timbalan Presiden Warisan Sabah (Warisan), Darrel Leiking mengesahkan majlis angkat sumpah Ketua Menteri Sabah yang baharu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan diadakan pada jam 9 malam ini.

Menurut Darrel, kesemua Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan sudah dimaklumkan mengenai proses peralihan kuasa Ketua Menteri yang terbaharu itu.

Jelasnya, Musa perlu mengikut undang-undang yang ditetapkan untuk meletakkan jawatannya.

"Kami berharap agar beliau (Musa) ikut undang-undang. Itu yang patut dia lakukan kerana harapan rakyat adalah lagi penting daripada 'personal ego' beliau.

"Sekiranya anda telah hilang majoriti sokongan DUN, anda harus tahu apa harus anda lakukan," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman rasmi Presiden Warisan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Shafie bersama beberapa ahli Warisan baru sahaja beredar daripada kediaman beliau kira-kira jam 11.50 pagi tadi dan difahamkan beliau akan menghadiri satu mesyuarat tertutup.