KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa mereka akan membuktikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima sumbangan wang berjumlah jutaan ringgit melalui bekas Perdana Menteri itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, perkara itu akan dibuktikan sepanjang prosiding perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Advertisement
Menurut beliau, pihak pendakwaan akan mengemukakan bukti bagi menyokong tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pagoh berkenaan.
Beliau berkata, walaupun wang yang dipersoalkan tidak dimasukkan ke dalam akaun peribadi tertuduh, dana berkenaan didakwa disalurkan ke dalam akaun milik Bersatu.
Katanya, Muhyiddin mempunyai kepentingan secara tidak langsung dalam perkara itu memandangkan beliau merupakan Presiden parti berkenaan ketika projek Jana Wibawa dilaksanakan.
Wan Shaharuddin menjelaskan, pihak pendakwaan akan menunjukkan bahawa kedudukan tertuduh sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu ketika itu mempunyai pengaruh terhadap penerimaan sumbangan berkenaan.
“Wang berjuta-juta ringgit itu memang tidak dimasukkan ke dalam akaun peribadi tertuduh, namun ia disalurkan ke akaun Bersatu yang mempunyai kaitan dengan tertuduh dan berkaitan dengan projek Jana Wibawa.
“Pendakwaan akan membuktikan bahawa jika bukan kerana kedudukan tertuduh sebagai Presiden Bersatu dan Perdana Menteri pada ketika itu, parti berkenaan tidak akan menerima sumbangan berjuta-juta ringgit,” katanya ketika sesi pendakwaan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin di Kompleks Mahkamah Tinggi pada Isnin.
Wan Shaharuddin turut memaklumkan bahawa Menteri Kewangan ketika itu hanya bertindak berdasarkan minit mesyuarat yang dikeluarkan oleh tertuduh.
Menurutnya, Menteri Kewangan serta sekutunya pada waktu itu termasuk UMNO juga tidak memperoleh sebarang keuntungan daripada keputusan yang dibuat.
Bekas Perdana Menteri itu menurutnya, berdepan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta tiga pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA).
Katanya, pihak pendakwaan akan mengemukakan pelbagai bentuk bukti termasuk dokumen, keterangan saksi secara langsung dan keterangan keadaan bagi menyokong kes tersebut.
Tambah beliau, kira-kira 30 saksi dijangka dipanggil bagi memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes berkenaan.
Muhyiddin, 79, didakwa pada tahun 2023 atas tujuh pertuduhan yang merangkumi empat kesalahan salah guna kuasa dan tiga kes pengubahan wang haram berkaitan pelaksanaan program Jana Wibawa.