KUALA LUMPUR: Keputusan beberapa Pilihan Raya Negeri yang diadakan baru-baru ini menunjukkan sebahagian besar rakyat sudah hilang keyakinan kepada parti-parti politik.

Menurut Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli, keadaan itu berbeza sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Mohd Rafizi menjelaskan akibat rakyat tidak peduli dan enggan keluar mengundi, ia akan memberi kesan yang besar kepada negara.

"Kesannya, apabila rakyat biasa yang sepatutnya keluar mengundi, yang sepatutnya mendesak ahli politik supaya menjadi lebih baik, yang sepatutnya turut serta menjalankan tanggungjawab bukan sebab kita nak tolong ahli politik tapi setiap keputusan politik yang kita buat dia ada kesan kepada kita dan anak cucu kita.

"Kalau kita semua berfikiran negatif, maknanya kita hanya tinggalkan politik kepada macai-macai UMNO yang hanya mahu menang pemimpin mereka, yang hanya tahu dapatkan projek bila UMNO menang.

"Kita sudah tengok dalam beberapa pilihan raya negeri, UMNO menang bukan sebab UMNO kuat, sebab rakyat kata sudah tidak ada guna mengundi, sudah hilang harapan.

"Apa yang saudara saudari perlu tahu, apabila saudara-saudari membuat keputusan tidak keluar mengundi, ia ada kepada kesan kepada saudara saudari," katanya ketika berucap di majlis pelancaran kempen ‘Ayuh Malaysia’ bagi menarik sokongan pengundi atas pagar ke arah menghadapi PRU-15.

Menurut Mohd Rafizi, platform Ayuh Malaysia itu bukan inisiatif khusus PKR, tetapi digerakkan oleh pimpinan muda PKR dengan harapan dapat menarik mint penyertaan pelbagai lapisan Masyarakat.

Ayuh Malaysia kata beliau membentang lima teras yang dianggap radikal iaitu jaminan makanan, tenaga dan sumber boleh diperbaharui, vokasional dan teknikal, perumahan mampu milik dan mampan serta pendemokrasian pendidikan.

Di majlis itu juga diperkenalkan aplikasi CISTA yang dibangunkan bagi membolehkan setiap rakyat Malaysia menjadi sukarelawan untuk berkhidmat membawa mesej perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik.