POLITIK
Kesihatan Abdul Hadi bertambah baik selepas jalani rawatan di IJN

Ahmad Samsuri menyifatkan proses pemulihan yang sedang dilalui Abdul Hadi (gambar) berjalan lancar dan luar biasa. - Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Tahap kesihatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menunjukkan perkembangan positif dan kini berada dalam fasa pemulihan selepas menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) minggu lalu.
Ringkasan AI
- Tahap kesihatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menunjukkan perkembangan positif dan kini dalam fasa pemulihan selepas menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Jun lalu.
- Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan bahawa proses pemulihan berjalan lancar dan luar biasa, namun Abdul Hadi masih di bawah pengawasan rapi pasukan perubatan mengikut pelan rawatan yang ditetapkan.
- Prosedur rawatan tidak diumumkan secara terbuka bagi menjaga privasi keluarga dan mengelakkan gangguan, manakala portal berita yang menyiarkan maklumat berkaitan telah memohon doa serta sokongan orang ramai untuk kesembuhan beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Persidangan East Coast Energy (ECE) di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini pada Isnin.
Ahmad Samsuri berkata, Abdul Hadi kini masih berada di bawah pengawasan rapi pasukan perubatan dan proses rawatan diteruskan mengikut pelan pemulihan yang ditetapkan oleh pakar kesihatan.
“Proses pemulihan beliau sangat memberangsangkan. Doktor yang merawat beliau juga memberitahu bahawa proses pemulihan beliau agak luar biasa dan cepat. Bagaimanapun, dalam keadaan usia dan keperluan rawatan khusus, kita perlu beri ruang secukupnya untuk beliau benar-benar pulih,” katanya.
Mengulas mengenai prosedur rawatan yang tidak dimaklumkan secara terbuka sebelum ini, Ahmad Samsuri menjelaskan langkah itu diambil bagi menghormati privasi keluarga serta memastikan proses rawatan tidak terganggu.
“Kita kena faham, kalau lokasi dinyatakan secara terperinci, sudah tentu akan ada orang yang datang menziarah, ambil gambar dan sebagainya. Ini boleh mengganggu proses rawatan dan privasi keluarga.
“Ini bukan soal mahu merahsiakan. Malah dua atau tiga hari sebelum prosedur dijalankan, anak Tuan Guru, Muhammad Khalil pun telah mengeluarkan kenyataan memohon semua mendoakan kesihatan beliau. Cuma, kita perlu minimumkan gangguan supaya proses rawatan dan pemulihan berjalan lancar,” ujarnya.
Ditanya mengenai jenis prosedur yang dijalankan, beliau berkata perkara tersebut tidak boleh didedahkan kerana melibatkan privasi keluarga dan hanya mereka yang layak untuk menjelaskannya kepada umum.
“Setiap orang ada hak peribadi masing-masing. Jadi, perkara itu lebih sesuai dijawab oleh pihak keluarga,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk menyatakan bahawa prosedur rawatan dijalani Presiden Pas pada 17 Jun lalu dan memohon orang ramai mendoakan kesembuhan serta kesihatan buat bapanya.
Untuk rekod, Abdul Hadi sebelum ini pernah menerima rawatan di IJN atas faktor kesihatan dan memerlukan pemantauan secara berkala oleh pakar. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami