SHAH ALAM: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menasihatkan ahli-ahli parti di enam negeri yang mengadakan pilihan raya agar terus memberikan sokongan kepada calon-calon Barisan Nasional (BN).

Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas itu berkata segala rasa tidak puas hati terhadap UMNO perlu diketepikan seketika bagi memastikan calon-calon BN menang pada 12 Ogos nanti.

“Yang nak datang 12 haribulan nanti adalah pilihan raya negeri bukan pemilihan parti, kenapa nak sabotaj parti kita sendiri?

“Kenapa nak terpengaruh dengan provokasi-provokasi parti yang mahu memusnahkan UMNO?

“Bila tiba penilihan parti nanti barulah tunjuk protes kepada pemimpin yang kita rasa tidak puas hati,” katanya dalam ceramah di DUN Kota Anggerik pada Khamis.

Mohamed Nazri juga mengingatkan ahli-ahli UMNO bahawa ada pemimpin dalam Perikatan Nasional (PN) yang pernah berusaha nak mengharamkan UMNO.

“Muhyiddin dan Mahathir pernah nak haramkan UMNO ketika mereka membentuk kerajaan bersama PH dulu.

“Yang menghalang usaha nak mengharamkan UMNO ini adalah Anwar Ibrahim kerana bagi dia UMNO ada sejarahnya kepada agama, bangsa dan negara.

“Jadi kenapa kita nak sabotaj parti kita sendiri dan nak sokong parti yang mana pemimpinnya nak haramkan UMNO,” katanya lagi.

Beliau menegaskan kesempatan berada dalam Kerajaan Perpaduan adalah peluang terbaik untuk UMNO memulihkan parti.

Katanya, kerjasama dengan PH merupakan formula terbaik bagi mengekalkan kestabilan dalam negara.