PUTRAJAYA: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan dan Ahli Majlis Eksekutif Pejuang (MEP) berkuat kuasa serta-merta, susulan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Khairuddin turut mengumumkan pembubaran Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, tindakan itu berikutan peletakan jawatan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 16 Dis lepas.

"Perjuangan saya dulu, kini dan selamanya hanyalah berteraskan paksi sokongan kepada Dr Mahathir yang sentiasa kekal berprinsip serta tidak pernah menipu dalam mana-mana perjuangan untuk menegakkan kebenaran demi bangsa, negara mahupun agama.

"Saya hanya memberi perkhidmatan secara terbaik dan teramanah mungkin kepada Dr Mahathir, apabila peletakan jawatan beliau (Dr Mahathir) diterima Biro Politik Pejuang dan dimaklumkan pada mesyuarat MEP Pusat pada 15 Dis 2022, maka kini perkhidmatan saya dalam Pejuang sudah tidak relevan lagi," katanya dalam kenyataan di sini.

Pejuang yang diasaskan oleh Dr Mahathir ditubuhkan pada 12 Ogos 2020, berteraskan kepada prinsip menentang salah guna kuasa, korupsi, membangunkan negara dan kebahagiaan rakyat.

Khairuddin berkata, konsensus mesyuarat MPN Wilayah Persekutuan semalam bersetuju membubarkan keseluruhan senarai Ahli Jawatankuasa yang dilantik oleh Ketua Negeri yang menganggotai MPN.

Khairuddin, 60, yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang itu mula bergiat dalam arena politik pada 2013 pernah memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian dan Naib Ketua UMNO Batu Kawan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini, Khairuddin yang bertanding di Parlimen Titiwangsa tewas kepada calon Barisan Nasional Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dengan hanya memperoleh 888 undi.
- BERNAMA