Pertanian, penternakan dan perikanan merupakan bidang keusahawanan yang ingin diberi perhatian oleh calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, sekiranya diberi peluang menjadi wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih itu pada 2 Mac ini.

Katanya, tumpuan terhadap pembangunan ketiga-tiga bidang kesuahawanan itu penting dalam usaha untuk menyediakan lebih banyak pekerjaan khususnya kepada golongan muda di Semenyih.

“Saya ada perancangan (mewujudkan peluang pekerjaan) ke arah itu. Di Semenyih ini kawasannya besar.

“Kalau kita lihat penanaman serai di Beranang, di sini merupakan salah satu pengeluaran (serai) terbesar di Malaysia.

“Apa yang kita rancang untuk usahawan – usahawan penanaman serai ini perlu diberi subsidi seperti penanaman padi. Jadi kita akan cuba ke arah itu,” katanya ketika ditemubual dalam rakaman program khas Semenyih Memilih.

Mengenai bidang usahawan penternakan pula, katanya beliau juga mahu memberi perhatian lebih memandangkan permintaan untuk daging lembu adalah tinggi ketika musim perayaan.

“Di Semenyih sahaja, pengeluaran lembu mencecah 2000 ekor ketika musim perayaan. Jadi itu yang akan kita pertingkatkan dan akan beri lebih perhatian.

“Begitu juga dengan bidang perikanan. Terdapat banyak kolam-kolam ikan di Semenyih, mereka ternak dan (mungkin) boleh dieksport keluar,” tambahnya lagi.

Jelas beliau, ini sekali gus memberi peluang kepada usahawan-usahawan dalam bidang-bidang berkaitan membantu menyediakan pekerjaan untuk golongan muda, selain mampu berdiri di atas kaki sendiri.

Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih pada 2 Mac menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Muhammad Aiman Zainali (PH), Zakaria Hanafi (BN), calon bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul (PSM).

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Saksikan rakaman penuh temubual calon PH, Muhammad Aiman Zainali dalam program Semenyih Memilih jam 3.30 petang pada Jumaat, di Astro AWANI saluran 501.