Skip to main content

Politik

[KOLUMNIS] PRN Johor: Kalah di padang tak rata

JOHOR BAHRU, 11 Julai -- Penyokong Pakatan Harapan (PH) memantau keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 melalui skrin besar yang disediakan di Pusat Informasi Pakatan Harapan (PH) di Dewan Inderapura , Pulai Spring Resort Johor hari ini.   --fotoBERNAMA(2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Penyokong PH memantau keputusan PRN Johor ke-16 melalui skrin besar yang disediakan di Pusat Informasi PH di Dewan Inderapura, Pulai Spring Resort Johor, JOHOR BAHRU, 11 Julai 2026. - Gambar hiasan/BERNAMA
Advertisement

ANGKA rasminya kejam. BN 48 kerusi, PH lapan, PN sifar. Namun di sebalik keputusan yang kelihatan seperti keruntuhan itu, satu perkara wajib diakui: PH masih berdiri. Lapan kerusi dipertahankan, 611,983 undi atau 32.6 peratus dikumpul, dalam keadaan hampir semua faktor menyebelahi lawan. Parti yang benar-benar tumbang tidak akan pulang dengan angka sebegitu.

Lihat sahaja di mana ia bertahan. Di Skudai, muka baharu DAP Kartiyaini Jeyapalan menang selesa dengan 58.7 peratus, membuktikan peremajaan calon boleh dibuat tanpa sebarang kos. Di Simpang Jeram, Amanah terselamat dengan majoriti 170 undi, paling tipis di seluruh negeri tetapi cukup untuk bertahan melawan arus. Di Puteri Wangsa pula, Maszlee Malik menang biarpun dikepung pertembungan lima penjuru. Teras PH kekal utuh.

BERSAMA sebaliknya. Parti ini turun ke Johor dengan naratif mahu menjadi suara pembangkang yang tulen. Keputusannya? Bukan sahaja gagal menjadi alternatif, untuk layak bergelar pembangkang pun tidak mampu. Lima belas kerusi ditandingi, sifar kemenangan, dan kesemua calonnya hilang deposit. Ini bukan penolakan secara halus. Rakyat Johor langsung tidak menganggap mereka sebagai pilihan.

Perbandingannya cukup pedih. Jumlah undi yang dikumpul seluruh blok pihak ketiga ini di seluruh Johor berkemungkinan besar tidak menyamai kutipan undi yang diraih Rafizi Ramli seorang diri ketika memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR. Sebuah gerakan yang dibina atas jenama seorang tokoh, gagal menandingi undi dalaman tokoh itu sendiri dalam parti yang beliau tinggalkan. Satu-satunya kesan BERSAMA yang boleh diukur pula bersifat negatif. Di Bukit Batu, 821 undi mereka bersama 387 undi MUDA menelan majoriti 174 dan menyerahkan kerusi PKR kepada MIC. Calon yang berjaya mereka tumbangkan hanyalah calon reformasi itu sendiri.

Sebab itu sukar untuk melihat BERSAMA sebagai projek politik yang tulen. Ia lebih menyerupai organisasi dendam, jemaah kecil yang berzikir siang malam dengan satu hajat: membenamkan Anwar Ibrahim. Pengundi Johor membalasnya dengan nilai yang setimpal.

Keputusan ini turut mencabar tanggapan bahawa calon muda secara automatik menjadi pilihan pengundi muda. Di Puteri Wangsa, kerusi yang pernah dimenangi MUDA pada 2022, pengundi memilih Maszlee Malik, bekas menteri berusia 50-an, manakala calon parti anak muda itu pulang dengan 6.8 peratus undi sahaja. Tanpa data exit poll, tiada siapa boleh memastikan bagaimana pengundi muda mengundi. Tetapi satu perkara jelas, jenama kemudaan semata-mata tidak lagi laku sebagai manifesto. Onn Hafiz sendiri seorang MB muda, dan beliau menang atas rekod serta legasi yang dibawanya, bukan atas usia. Kematangan calon, nampaknya, kekal menjadi mata wang yang lebih bernilai.

PN pula satu teka-teki. Daripada tiga kerusi dan kira-kira 360,000 undi pada 2022, mereka jatuh kepada sifar kerusi dan 102,090 undi. Sebanyak 21 daripada 33 calon hilang deposit. Bekas Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal sendiri cuma meraih 21.1 peratus di Bukit Kepong. Kempen selesu itu, slate selonggar itu, sukar untuk tidak dibaca sebagai kekalahan yang dibiarkan berlaku, kekalahan yang berguna untuk menjatuhkan kredibiliti Muhyiddin Yassin dari dalam. Apabila debu keputusan ini mendap nanti, tidak mustahil naratif "rumah bangsa" akan diangkat semula sebagai jambatan untuk bermaksiat politik dengan UMNO. Sifar kerusi hari ini boleh dijadikan modal rundingan esok. Tabiat lama memang tidak berubah.

Ada yang menyebut keputusan Johor sebagai wake-up call untuk PH. Tidak tepat. Loceng itu sudah lama berbunyi, dan PH menerimanya di Sabah hujung tahun lalu. Johor tidak mengajar apa-apa yang belum diketahui parti itu. Yang masih menunggu Johor untuk menyedarkan PH sebenarnya bangun lebih lambat daripada parti itu sendiri.

Lagipun Johor bukan padang ujian yang rata. Ini negeri kelahiran UMNO pada 1946, tanah Bangsa Johor, dengan seorang MB muda yang membawa mandat peribadi, majoriti 15,375 di Machap, serta legasi keluarga Onn yang berakar daripada Dato' Jaafar Muhammad, diteruskan oleh Dato' Onn Jaafar dan Tun Hussein Onn. Jentera PAS mengalirkan undinya terus kepada BN di 23 kerusi yang tidak ditandingi mereka. Paling mengikat, PH terpaksa bertanding menentang rakan kongsinya sendiri dalam Kerajaan Perpaduan. Mahu menyerang habis-habisan tidak boleh, mahu berselindung sepenuhnya pun tidak boleh. Kalah di padang begini bukan ukuran kekuatan sebenar PH. Ia ukuran betapa curamnya bukit yang didaki.

Lonjakan keluar mengundi daripada 54.6 peratus pada 2022 kepada hampir 70 peratus juga bukan petanda baik untuk PH. Orang Johor pulang mengundi pada 11 Julai, tengah bulan, bukan hujung bulan selepas gaji masuk. Gelombang itu bukan gelombang kesyukuran. Program BUDI95 yang pada awalnya memberi kesan positif kepada kerajaan dilihat tidak lagi mencukupi untuk meredakan tekanan kos sara hidup menjelang hari pengundian. Budi itu, nampaknya, sudah habis ditebus. Pengundi yang dahulu pulang untuk menyokong, kali ini pulang untuk mengingatkan.

Satu perkara yang jarang diberi kredit. Kekalahan sebesar ini, lapan berbanding 48, di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim, adalah bukti paling kukuh bahawa beliau tidak menyalahguna jentera kerajaan dan tidak memperkuda SPR. Perdana Menteri yang mengawal pengadil tidak akan membiarkan gabungannya tewas seteruk ini. Tiada pula gula-gula khas ditabur untuk Johor. Tiada durian runtuh bermusim pilihan raya, tiada bantuan tiba-tiba melimpah ke satu negeri, sedangkan kerajaan sedang memikul beban subsidi bahan api berbilion ringgit setiap bulan untuk seluruh negara. Pada saya itulah reformasi dalam bentuk paling praktikal, reformasi untuk Anwar sendiri. Kita tahu beliau bekerja keras. Di sebalik pelbagai isu yang belum selesai, Malaysia sebenarnya berada dalam keadaan baik.

Saya yakin PMX akan membawa berita yang lebih baik kepada rakyat selepas ini. Johor meninggalkan luka dan luka itu nyata. Tetapi kepimpinan tidak diukur pada malam kemenangan. Ia diukur pada pagi selepas kekalahan, ketika seorang pemimpin bangun dan terus bekerja untuk semua, termasuk mereka yang menolaknya. Anwar Ibrahim, dengan segala parutnya, kekal Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.


* Ulasan ini adalah pendapat peribadi yang disusun daripada fakta-fakta oleh Syafiq Sunny. 

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

 

Must Watch Video

Advertisement