Konflik kepimpinan yang melingkari Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan suatu perkara biasa kerana ia asalnya merupakan parti yang lahir 'di atas jalan raya', kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Bagaimanapun, jelas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi, rakyat mempunyai harapan yang tinggi terhadap PKR, dan sebarang kekhilafan di antara pemimpin perlu diselesaikan dengan baik melalui platform tertentu.

"Keadilan has always been dynamic, very dynamic party, we have always been, and this is a nature of the party. Keadilan ini lahir di atas jalan raya, bagi kami ini adalah rencam, kebiasaan resmi bagi Keadilan.

“Namun pada masa sama, rakyat mengharapkan parti, khususnya parti pemerintah dapat memberi fokus bagi menyelesaikan masalah rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai konflik yang mengaitkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, serta perkara lain seperti kegagalan Kerajaan Melaka pimpinan Pakatan Harapan mencalonkan senator akibat ketidak hadiran dua ADUN PKR – Muhammad Jailani Khamis (rRembia) dan Ginnie Lim Siew Lin (Machap Jaya).

Mengulas mengenai insiden simbahan cat merah dan bangkai ayam di Pejabat Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir semalam, Fahmi berkata, insiden itu merupakan satu situasi yang sangat teruk, dan ugutan sebegitu tidak patut terjadi kepada mana-mana wakil rakyat sekali pun.

“Bagi saya ini satu tindakan jenayah yang perlu dikecam semua pihak, dan bagi saya satu tindakan bacul oleh sesiapa yang ingin menghantar mesej kepada YB Akmal.

“Saya harap PDRM dapat menyiasat segera dan mereka yang dipercayai terbabit dibawa ke muka penghakiman,” katanya lagi.

BACA: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru disimbah cat merah

Ditanya mengenai kemungkinan ugutan itu terjadi akibat perpecahan dalam Angkatan Muda Keadilan, Fahmi berkata, ia bergantung kepada siasatan polis.