MELAKA: Kongres Nasional PKR 2026 yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini bukan sekadar memenuhi tuntutan perlembagaan parti, tetapi juga bakal menjadi medan bagi menguji serta menilai tahap kesiapsiagaan jentera menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim berkata, perkembangan dinamik politik semasa menuntut parti itu melakukan refleksi mendalam terhadap kekuatan serta persediaan jentera pada setiap peringkat.
Beliau berkata, perkara itu adalah antara fokus utama yang dibawa delegasi Melaka ke kongres kali ini, selain usaha memperkukuh semula semangat perjuangan sejajar dengan tema “Memugar Reformasi, Membina MADANI”.
“Realitinya, kita sedang berhadapan dengan PRN Melaka, justeru dalam kongres kali ini kita akan menguji dan membuat refleksi terhadap kesediaan jentera parti dalam menghadapi pilihan raya yang bakal tiba,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Mandat Kerajaan Negeri Melaka bakal tamat pada 31 Dis ini seterusnya memberikan laluan kepada PRN diadakan.
Pada PRN lepas, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri setelah mendapat 21 daripada keseluruhan 28 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) menguasai lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, penganjuran kongres di Melaka perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai ruang membahaskan idea serta memberikan cerminan semula terhadap kedudukan parti bagi memastikan PKR kekal relevan dalam landskap politik tanah air.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengalaman daripada PRN Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini seharusnya memberikan suntikan semangat serta motivasi baharu kepada setiap anggota untuk lebih bersedia mendepani cabaran politik yang semakin kompleks.
Beliau berkata, strategi pilihan raya, pemantapan agenda kemasyarakatan serta pendekatan untuk memenangi semula sokongan rakyat adalah antara naratif penting yang perlu diperkasakan dalam usaha memperkukuh parti.
“Kita tidak boleh membina kekuatan parti tanpa memahami perkara yang diingini dan dimahukan oleh masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Adam Adli berkata, Wanita PKR dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut mempunyai peranan penting dalam persiapan menghadapi pilihan raya memandangkan kedua-dua sayap tersebut merupakan penggerak utama yang paling dekat dengan komuniti.
Sehubungan dengan itu, beliau mahu suara, pandangan serta idea daripada kedua-dua sayap parti terus diperkasakan dan diarusperdanakan dalam menentukan hala tuju strategik PKR.
Beliau turut menekankan bahawa cabaran pada pilihan raya akan datang bukan hanya berkisar kepada jumlah kerusi yang mampu dimenangi, tetapi merangkumi keupayaan parti menyusun strategi politik dengan lebih berkesan dan matang.
Katanya, PKR Melaka perlu memastikan kongres itu menghasilkan kesedaran kolektif dalam kalangan anggota bahawa mereka kini memikul amanah besar bagi menterjemahkan harapan rakyat melalui tadbir urus yang berintegriti.
Melaka dipilih menjadi tuan rumah bagi Kongres Nasional PKR 2026 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, bermula dari 13 hingga 16 Ogos ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR dijadualkan merasmikan kongres berkenaan pada 15 Ogos ini.
-- BERNAMA