Skip to main content

Politik

Krisis Bersatu: "Kami cuba elak krisis, tetapi ada pihak pilih sabotaj" - Muhyiddin

61767083421_MuhyiddinYassin.jpg
Muhyiddin berkata, keputusan disiplin terhadap barisan kepimpinan kanan tidak dibuat secara tergesa-gesa.

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan usaha untuk mengelakkan perpecahan dalam parti itu gagal apabila terdapat pihak tertentu yang terus melakukan sabotaj dari dalam.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas pemecatan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, bersama 16 pemimpin lain, susulan tindakan disiplin yang diambil kepimpinan parti.

Advertisement

Muhyiddin berkata, keputusan disiplin terhadap barisan kepimpinan kanan tidak dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya selepas pelbagai usaha dilakukan bagi mencari penyelesaian secara damai.

“Sebelum tindakan diambil, pelbagai usaha telah dibuat termasuk mengadakan pertemuan dengan pihak terlibat bagi mencari jalan perdamaian dan menyelamatkan Bersatu.

"Namun, terdapat pihak yang terus melakukan sabotaj untuk memecah-belahkan parti,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang diadakan di kediamannya di sini, hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat berkenaan turut membincangkan langkah-langkah bagi memperkukuh parti susulan pemecatan tersebut, selaras dengan tanggungjawab kepimpinan untuk memastikan Bersatu kekal utuh dan setia kepada perjuangan asal.

“Saya memikul tanggungjawab untuk memastikan Bersatu kekal kuat dan tidak terpesong daripada perjuangan. Ramai antara kami yang terlibat sejak awal penubuhan parti tidak sanggup melihatnya musnah akibat perbuatan individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Muhyiddin turut mendedahkan bahawa bertahun-tahun beliau berhemah berdepan dengan apa yang disifatkannya sebagai sabotaj dan serangan dalaman, termasuk memberi jawatan kepimpinan kepada individu yang diketahui menentangnya demi menjaga perpaduan parti.

“Malangnya, usaha itu tidak dihargai. Tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan dan disiplin parti terus berlaku, dan ia tidak boleh dibiarkan berterusan,” katanya.

Tambah beliau, MPT turut sebulat suara bersetuju untuk membina semula kekuatan Bersatu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Saya yakin semangat setiakawan serta kesetiaan ahli terhadap perjuangan parti akan membantu kita mengharungi apa jua cabaran,” katanya.

Must Watch Video