Pemilihan semula MIC pada Jumaat dijangka menamatkan krisis dalaman yang melanda parti itu selama 11 bulan.

Datuk Seri Dr S. Subramaniam, yang menang tanpa bertanding jawatan presiden sebelum ini, memang berharap barisan kepimpinan baharu akan meremajakan parti serta bersiapsiaga menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pemilihan semula itu yang diadakan sebelum Mesyuarat Agung Tahunan MIC ke-67 bermula petang Jumaat menyaksikan keputusan yang memeranjatkan dalam pertandingan satu lawan satu bagi jawatan timbalan presiden.

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Seri S.K Devamany menewaskan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan yang telah diuar-uarkan bakal memenangi jawatan itu.

Dua bekas Ketua Pemuda Datuk S.A Vigneswaran (1,141 undi) dan Datuk T.Mohan (1,138 undi) dan bekas Bendahari Agung, Datuk Jaspal Singh (1,072 undi) pula dipilih sebagai naib presiden baharu parti itu.

Ketua Penerangan MIC, V.S Mogan kecundang dengan hanya memperoleh 768 undi.

Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan mendahului barisan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dengan memperolehi 1,145 undi, diikuti G.Kannan (1,109) dan V.Elango (1,108).
Sebanyak 44 calon bertanding untuk 23 jawatan CWC.

Kesemua keputusan pemilihan semula diumumkan oleh Dr Subramaniam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan.

Sebanyak 1,389 perwakilan mengundi dari pukul 9.10 sehingga 11.30 pagi di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang di sini.

Ketika ditemui pemberita, Devamany berkata beliau akan membantu presiden mengembalikan keyakinan masyarakat India terhadap MIC.

"Saya juga akan bekerja untuk memartabatkan imej parti dan mentransformasikan parti berusia 69 tahun ini," katanya.

Beliau juga berikrar akan terus memperjuangkan nasib komuniti India dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Saravanan pula berkata beliau akan bekerjasama dengan barisan kepimpinan baharu bagi memperjuangkan kebajikan masyarakat India di negara ini.

"Saya akur dengan kekalahan saya dan menghormati keputusan delegasi," katanya.

Mohan pula berikrar untuk memberi tumpuan dalam memperkukuhkan kedudukan parti sebagai satu langkah menarik perhatian masyarakat India.

"Saya akan bekerjasama dengan pucuk pimpinan yang cukup hebat untuk mengembalikan kegemilangan parti MIC," katanya.

Vigneswaran pula menyeru calon yang telah gagal supaya merapatkan barisan dengan terus memberi sumbangan kepada masyarakat di bawah pimpinan Dr Subramaniam.

"Saya harap jangan sampai ada calon-calon yang gagal tidak lakukan kerja dan tidak mahu menjadi aktif dalam arena politik," katanya.

Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah membatalkan pemilihan 2013 kerana didapati wujud salah laku dalam proses pemilihan dan melantik CWC 2009 untuk mengadakan pemilihan semula itu.