Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dinasihatkan supaya tidak memberi tekanan kepada Timbalan Presiden Parti Keadlian Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali sama ada memilih untuk bersama DAP atau PAS

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang senang dikenali sebagai Mat Taib berkata, kenyataan Tony Pua itu tidak mencerminkan semangat Pakatan Rakyat (PR) yang telah diberi mandat besar oleh rakyat negeri Selangor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Mat Taib juga menasihatkan pimpinan tertinggi PAS dan DAP supaya mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani konflik yang berlaku sekarang ini.

"Buat permulaan, saya ingin mencadangkan DAP supaya menarik balik kenyataan untuk memutuskan kerjasama dengan Presiden PAS, Datok Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.

"Saya juga memohon Ahli Majlis Syura Ulamak dan pimpinan tertinggi PAS supaya dapat mengambil satu sikap yang dapat menyelamatkan hubungan sesama parti dalam Pakatan Rakyat.

"Jangan disia-siakan harapan rakyat Malaysia yang telah memberi undi 52% kepada PR khususnya harapan rakyat negeri Selangor yang telah memberi mandat kepada Kerajaan PR," jelas beliau.

BACA:
"Sama ada PAS atau DAP, saya akan buat pilihan ikut rakyat" - Azmin
Pakatan Rakyat sudah tiada lagi - Kit Siang
'PAS masih sebahagian daripada Pakatan Rakyat' - Tuan Ibrahim

Jangan disia-siakan harapan rakyat Malaysia yang telah memberi undi 52% kepada PR khususnya harapan rakyat negeri Selangor yang telah memberi mandat kepada Kerajaan PR

Beliau berkata memandangkan keadaan UMNO dan Barisan Nasional sedang lemah menghadapi pelbagai isu yang melanda mereka, PR perlu menunjukkan contoh alternatif terbaik kepada rakyat bagi menghadapi PRU ke-14 nanti.

Konflik PAS-DAP dilihat semakin meruncing apabila ia kini seakan menggugat kedudukan PR di Selangor.

Sebelum ini Tony Pua berkata PKR tidak mempunyai pilihan sama ada membuat keputusan menyokong DAP atau memilih untuk bekerjasama dengan PAS dalam pentadbiran negeri Selangor.

Dia pada masa sama tidak menolak jika berlaku penggantungan Dewan Undangan Negeri sehingga membawa kepada pilihan raya kecil.

Ini kerana ketika ini PAS dan DAP mempunyai jumlah kerusi yang sama, masing-masing 15 kerusi sementara PKR, 13 kerusi.

Beliau juga tidak yakin untuk melihat ketiga-tiga parti dalam PR boleh berbincang mengenai masa depan pakatan itu.