KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir pihak melabelkan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai budak suruhan DAP dan serpihan daripada Pas disifatkan sebagai sekadar untuk merendah-rendahkan parti itu.

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata sebaliknya parti yang sudah menjangkau usia lapan tahun itu memiliki kekuatan sendiri.

Ia sekali gus, ujarnya membolehkan Amanah diperakui sebagai parti yang dihormati dan disegani oleh kawan serta lawan.

"Pertama, dasar Amanah itu sendiri... itu kekuatan dan aset Amanah, yang tidak ada kepada parti-parti lain, khususnya Pas.

"Kita membawa satu gagasan besar Rahmatan lil 'Alamin dan kita telah berjaya membawanya ketika kita berada dalam kerajaan, dan sekarang kita berjaya dengan produk-produk rahmah itu, dan ia sangat sinonim dengan Madani. Ini bermakna itulah kekuatan kita.

"Mana bisa satu parti yang baru lapan tahun tetapi nama rahmah itu menjadi sebutan daripada setiap isi rumah. Itu adalah produk kita dan kekuatan kita," katanya dalam program Pantau Agenda AWANI: Seiring dan Sejalan, di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata Amanah mempunyai peluang yang besar kerana berada dalam gabungan kerajaan ketika ini, wakil dalam Kabinet serta sokongan di peringkat akar umbi.

"Maka di situ sendiri akan menjawab segala 'labelling' jahat oleh kelompok tertentu, bukan rakyat tetapi oleh kelompok itu (pembangkang)," tambah beliau.

Selain itu, Senator Dewan Negara itu berkata, dasar yang dibawa oleh Amanah juga disifatkan sebagai progresif berbanding dasar Islam dibawa Pas, yang didakwa terlalu keras dan kasar.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan adalah tidak adil untuk membezakan Amanah dengan Pas atau parti lain, hanya dengan melihat kepada usia penubuhan.

Begitupun, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menegaskan Amanah perlu membina kekuatan dalaman parti, selain menyebarluaskan konsep Rahmatan lil 'Alamin serta mengukuhkan ahli parti.

Ditanya mengenai rombakan Kabinet pula, Mujahid menegaskan Amanah berpuas hati dengan barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Ujarnya lagi, rombakan tersebut disifatkan sebagai satu usaha untuk memperkukuhkan Kerajaan Madani selepas setahun pentadbiran, dan ia dibuat bagi memenuhi kehendak dasar-dasar baharu.