POLITIK
Lantikan Ketua Hakim Negara: Cadangan Rafizi diterima secara terbuka oleh PKR - Saifuddin

Saifuddin bercakap pada sesi bicara Minister's Conversation (IMC) 2025 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima secara terbuka serta meraikan pendapat semua pihak termasuk kumpulan backbenchers termasuk berkaitan isu pelantikan Ketua Hakim Negara.
Ringkasan AI
- PKR terbuka terhadap cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara, menunjukkan sikap meraikan perbezaan pendapat dalam parti.
- Sembilan Ahli Parlimen kanan PKR termasuk Rafizi Ramli menyokong penubuhan RCI, dengan dakwaan pencalonan jawatan hakim tidak diambil tindakan sewajarnya oleh kerajaan.
- Saifuddin Nasution menegaskan cadangan tersebut tidak menjejaskan parti, malah semua ahli Parlimen PKR masih mendukung kerajaan dan menyuarakan reformasi secara konstruktif.
“PKR parti terbuka, merai dan menerima perbezaan pendapat. Itu adalah pandangan daripada backbenchers terhadap Kerajaan. Bagi orang lain, mungkin apa ini? Keadilan parti terbuka, parti meraikan perbezaan pendapat, kebebasan memberikan pandangan, saya ucap terima kasih dan menghargai pandangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas sesi bicara Minister's Conversation (IMC) 2025 di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin berpendapat cadangan dikeluarkan sembilan ahli Parlimen itu tidak menjejaskan impak parti berkenaan.
“Rafizi dan mereka masih bersama dengan PKR? Dalam kenyataan bersama mereka terus mendukung Kerajaan,” jawabnya ringkas.
Semalam, sembilan Ahli Parlimen kanan PKR menuntut satu RCI ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara.
Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa, pencalonan bagi beberapa jawatan hakim itu sudah dihantar oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) kepada kerajaan sebelum ini namun tidak diambil tindakan sewajarnya.
Sidang media turut dihadiri ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
Dua lagi ahli Parlimen PKR yang tidak hadir namun menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.
Rafizi menegaskan penubuhan RCI merupakan langkah paling berkesan untuk menangkis segala spekulasi mengenai campur tangan dalam urusan kehakiman.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami