KOTA KINABALU: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah mengecam tindakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan beberapa pimpinan lain di belakang beliau yang didakwa berusaha menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Sabtu, kelima-lima ADUN itu berkata tindakan Bung itu bukan sahaja mengejutkan mereka malah menjatuhkan maruah parti di mata rakyat.

Mereka, yang terdiri daripada Datuk Shahelmey Yahya (N27 Tanjung Keramat), Datuk Jasnih Dayah (N13 Pantai Dalit), Datuk James Ratib (N48 Sugut), Datuk Dr Yusuf Yacob (N35 Sindumin), dan Datuk Mohd Arsad Bistari (N9Tempasuk).

"Kami telah dikejutkan oleh tindakan beberapa pihak tertentu khususnya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah yang telah berusaha menjatuhkan kerajaan negeri Sabah yang sah.

"Sesungguhnya kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut," menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu itu.

Pada masa sama, kelima-lima ADUN tersebut turut menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah yang dipilih secara perlembagaan atas kehendak ingin mengekalkan kestabilan negeri itu sesuai dengan aspirasi rakyat Sabah pada ketika ini.

"Seperti mana juga aspirasi rakyat Sabah, kami mahukan kestabilan politik yang telah wujud selama ini dikekalkan dan menolak sebarang percubaan atau tindakan oleh mana-mana pihak yang ingin menimbulkan kekacauan dan keresahan rakyat.

"Kami dengan ini mengisytiharkan sokongan kami yang tidak berbelah bahagi kepada YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri yang sah di sisi perlembagaan," menurut kenyataan itu lagi.