Skip to main content

Politik

'Lima hari notis, tiada penjelasan' - Wong Chen dakwa disingkir daripada MDV selepas hadir acara Bersama

Wong Chen
Bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mendakwa beliau berdepan beberapa tindakan yang disifatkannya sebagai bermotifkan politik selepas menghadiri acara Parti Bersama pada Mei lalu. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mendakwa beliau berdepan beberapa tindakan yang disifatkannya sebagai bermotifkan politik selepas menghadiri acara Parti Bersama pada Mei lalu.

Dalam wawancara program Consider This bersama Melisa Idris yang disiarkan pada Khamis, Wong Chen berkata beliau telah diarahkan meninggalkan jawatan sebagai Pengerusi Malaysia Debt Ventures (MDV) hanya dengan notis lima hari tanpa penjelasan rasmi.

Menurut beliau, perkara itu berlaku ketika MDV menunjukkan prestasi lebih baik berbanding sebelum beliau dilantik.

"Mereka tidak hubungi saya, tidak berjumpa saya. Mereka hanya menghantar nota melalui setiausaha syarikat memaklumkan saya perlu melepaskan jawatan dalam tempoh lima hari," katanya.

Wong Chen mendakwa tindakan itu berlaku selepas beliau menghadiri program Bersama sebagai pemerhati dan rakan kepada pengasas parti tersebut.

Beliau turut mempertahankan rekod pentadbirannya di MDV, dengan menyatakan syarikat itu berjaya dipulihkan daripada kerugian kepada keuntungan sepanjang tempoh beliau memegang jawatan.

"Syarikat itu rugi sebelum saya menjadi pengerusi dan kami berjaya memulihkan kedudukannya. Saya tidak mengambil kredit sepenuhnya, tetapi saya memastikan tadbir urus yang baik dilaksanakan," katanya.

Selain itu, Wong Chen turut mendakwa pejabatnya kehilangan akses kepada sistem pengurusan dana komuniti Parlimen Subang tanpa sebarang notis atau penjelasan.

Menurut beliau, perkara itu hanya disedari selepas pegawainya gagal mengakses sistem untuk memproses projek komuniti dan bantuan kepada penduduk.

"Kami cuba mendapatkan penjelasan tetapi sehingga hari ini tiada jawapan diberikan," katanya.

Beliau mendakwa dana komuniti Parlimen Subang yang berjumlah sekitar RM3.5 juta setahun digunakan secara telus dan rekod perbelanjaannya diterbitkan secara berkala untuk tatapan awam.

Katanya, sebahagian besar dana berkenaan telah diagihkan kepada sekolah dan projek komuniti sebelum akses itu disekat, namun terdapat beberapa projek yang belum dapat diproses.

Wong Chen mendakwa tindakan tersebut memberi kesan kepada penduduk dan institusi pendidikan di kawasan Subang.

Ketika ditanya pihak yang bertanggungjawab terhadap keputusan berkenaan, beliau merujuk kepada arahan yang didakwa datang daripada Pejabat Perdana Menteri dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

Pada masa sama, beliau menyifatkan layanan yang diterimanya sebagai mengecewakan selepas 17 tahun bersama PKR dan peranannya dalam merangka pelbagai dasar parti termasuk belanjawan alternatif.

Wong Chen sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang dan keluar daripada PKR sebelum menyertai Parti Bersama.

Must Watch Video

Advertisement