Mahfuz keluar kerana perjuangan politik Pas semakin sesat - Guan Eng

Astro Awani
Januari 1, 2018 06:52 MYT
Guan Eng percaya Mahfuz (gambar) kecewa dengan politik perjuangan Pas. - Gambar fail
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan perjuangan politik Pas yang semakin sesat menyebabkan Datuk Mahfuz Omar meninggalkan parti yang disertainya sejak 34 tahun lepas itu.
Beliau percaya keputusan yang diambil Ahli Parlimen Pokok Sena itu berikutan kecewa dengan perjuangan Pas yang semakin jauh dari matlamat mahu menjatuhkan Barisan Nasional (BN).
"Jelas di sini bahawa Mahfuz hendak memastikan ada satu pakatan pembangkang yang kuat untuk melawan BN.
"Kerana, sudah nampak dari segi politik perjuangannya, politik Pas sesat. Sesat sampai dipuji oleh UMNO.
"Kalau anda dari politik ini, di mana pembangkang dipuji baik oleh parti pemerintah, maka lingkuplah," kata Lim pada satu sidang media hari ini selepas majlis penyerahan cek kepada Hospital Kanser Mount Miriam di Komtar.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mahfuz yang diumumkan di Alor Setar pada Sabtu.
BACA: Selepas keluar Pas, Mahfuz tetapkan tempoh 'idah' sebulan
BACA: Politik saya bersama Pakatan Harapan, ramai lagi akan turut serta - Mahfuz
BACA: Pas tidak calonkan Mahfuz dalam PRU14 - Mohd Amar
BACA: Biarlah lompat dari merosakkan parti - Mohd Amar
Lim yakin Mahfuz mahu satu bentuk pakatan pembangkang yang kuat untuk menentang BN dan bukannya bersama dengan parti yang dilihat mesra dengan parti pemerintah.
Oleh sebab itu, katanya, bekas naib presiden Pas itu masih lagi dalam perjuangan pembangkang yang menentang BN walaupun tidak lagi menganggotai Pas.
Mahfuz mengumumkan keluar parti Pas berkuatkuasa 11.59 malam tadi dan akan berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas sehingga pengumuman baru dibuat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.
#Barisan Nasional #DAP #Lim Guan Eng #Mahfuz Omar #PAS #pembangkang #perjuangan #pilihan raya umum #politik #sesat #UMNO