KUALA LUMPUR: Selepas beberapa hari bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Selangor, Najwan Halimi digugurkan daripada jawatan susulan rombakan Jawatankuasa AMK Selangor, 13 daripada 21 Ketua-Ketua AMK Cabang Negeri Selangor hari ini menolak pelantikan Ketua AMK Selangor yang baharu dan menyatakan hilang kepercayaan terhadap Ketua AMK Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan media ringkas pada Khamis.

"Kami mewakili majoriti ketua-ketua AMK Cabang dalam Negeri Selangor dengan ini menolak pelantikan Ketua AMK Selangor yang baharu dan secara sebulat suara memutuskan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Akmal Nasrullah Mohd Nasir selaku Ketua AMK Malaysia.

"Majoriti Ketua-Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Selangor telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua AMK Malaysia.

"Kami merujuk kepada kenyataan media oleh Setiausaha AMK Malaysia, Syukri Razab bertarikh 30 Jun 2021 berkaitan pertemuan secara maya bagi membincangkan pemilihan Ketua AMK Negeri Selangor yang baharu," jelas kenyataan itu.

Malah, kenyataan Setiausaha AMK Malaysia bahawa jumlah kehadiran ketua-ketua AMK Cabang seramai 18 orang disifatkan sebagai tidak benar dan mengelirukan.

"Untuk makluman, jumlah Ketua-ketua AMK Cabang dalam Negeri Selangor yang menyertai pertemuan secara maya pada 29 Jun 2021 adalah seramai 15 orang sahaja.

"(Mereka) iaitu dari cabang Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak, Bangi, Tanjong Karang, Kapar, Hulu Selangor, Kota Raja, Petaling Jaya, Selayang, Sabak Bernam, Shah Alam, Pandan, Sungai Buloh dan Sepang.

"Sebanyak enam ketua AMK cabang tidak menyertai pertemuan secara maya tersebut iaitu cabang Puchong, Klang, Damansara, Kuala Selangor, Ampang dan Subang," jelas kenyataan itu lagi.

Malah ditegaskan bahawa Ketua AMK Cabang Sungai Besar telah melepaskan jawatan beberapa minggu yang lalu.

Tambah kenyataan itu lagi, satu Kongres AMK Luar Biasa dituntut diadakan bagi memilih semula Ketua AMK Malaysia yang baharu.

Kenyataan itu diwakil Ketua AMK Cabang Kuala Langat, Puchong, Damansara, Hulu Langat, Bangi, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kota Raja, Klang, Petaling Jaya, Kapar, Gombak dan Ampang.

Pada Isnin, menerusi satu surat yang ditandatangani oleh Setiausaha AMK Ahmad Syukri Che Ab Razab memaklumkan pemecatan pemimpin sayap pemuda PKR itu.

Manakala AMK Selangor dan Perlis pula dibubarkan dan Ahmad Syukri menambah dalam surat itu bahawa Ketua AMK, Akmal Nasir akan melakukan rundingan untuk melantik kepemimpinan baharu di Selangor dan Perlis