KUALA LUMPUR: Agenda Malaysia Biru akan dijadikan manifesto rasmi Barisan Nasional (BN) selepas dimuktamadkan bersama kepimpinan parti komponen dan Friends of BN.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, proses penyediaan manifesto berkenaan perlu diselesaikan sepenuhnya sebelum ia disahkan.
“Ia akan menjadi manifesto rasmi setelah kita berbincang dengan kepimpinan rakan-rakan komponen Barisan Nasional dan Friends of BN.
“Itu akan kita sahkan setelah proses penyediaan manifesto berkenaan dilakukan sepenuhnya,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Menurut Ahmad Zahid, Agenda Malaysia Biru yang dibentangkannya ketika ucapan dasar akan menjadi landasan utama kepada tawaran BN.
Katanya, agenda berkenaan bukan hanya ditujukan kepada ahli parti, malah akan ditawarkan kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Kami berazam untuk menjadikannya sebagai sandaran pelaksanaan dan akan memasukkannya sebagai elemen utama dalam manifesto BN,” jelasnya.
Ahmad Zahid turut menegaskan agenda itu tidak seharusnya dijadikan polemik oleh mana-mana penganalisis.
Jelasnya, ia merupakan dasar dan tawaran BN yang digariskan menerusi lapan agenda utama dalam Agenda Malaysia Biru.