KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Impak MADANI (Impak MADANI) mempersoalkan formula yang bakal dibawa oleh Presiden Parti Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan pengumuman 15 calon parti itu baru-baru ini.
Penasihat Impak MADANI, John Ooh Sin Hwa berkata, Rafizi yang sebelum ini sering dikaitkan dengan pelbagai formula dan pendekatan strategik sehingga digelar ‘Raja Formula’ dilihat tidak lagi menampilkan pendekatan sedemikian menjelang PRN Johor.
Menurutnya, keadaan itu berbeza berbanding sebelum ini apabila bekas Ahli Parlimen Pandan itu kerap mengetengahkan pelbagai formula bagi meyakinkan rakyat terhadap idea dan penyelesaiannya.
“Namun saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk melihat formula baharu daripada Rafizi selepas beliau dilihat gagal melaksanakan beberapa formula yang pernah diperkenalkan ketika memegang jawatan Menteri Ekonomi.
“Mungkin juga beliau sedar rakyat tidak lagi mudah terpedaya dengan pendekatan sedemikian, sebab itu kita tidak lagi mendengar mengenai formula yang sering diuar-uarkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
John berkata, rakyat kini lebih berminat melihat rekod pencapaian dan pelaksanaan dasar berbanding retorik atau teori yang tidak dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata.
Menurutnya, sebarang tawaran politik menjelang pilihan raya perlu disokong dengan prestasi yang boleh dinilai rakyat, bukannya sekadar janji atau slogan yang sukar direalisasikan.
Sebelum ini, Parti Bersama mengumumkan seramai 15 calon yang akan bertanding pada PRN Johor yang dijangka diadakan dalam masa terdekat selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Pengumuman itu dilihat sebagai langkah awal parti berkenaan untuk menguji pengaruhnya dalam pilihan raya pertama sejak ditubuhkan selepas beberapa pemimpin kanan meninggalkan PKR.
Parti Bersama yang diterajui Rafizi sebelum ini menyatakan hasrat untuk menawarkan politik berteraskan dasar dan reformasi institusi sebagai alternatif kepada landskap politik sedia ada.
Untuk rekod, Rafizi pernah membalas sindiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggelarkannya sebagai “raja formula songsang” dengan menegaskan bahawa formula penting dalam usaha mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah.
Menurut Rafizi ketika itu, formula dan pendekatan berasaskan data diperlukan bagi membantu kerajaan merangka dasar serta menyelesaikan isu yang dihadapi rakyat.
Sejak meninggalkan Kabinet dan menubuhkan Parti Bersama, Rafizi turut aktif mengkritik pentadbiran Kerajaan Perpaduan serta menggesa perubahan politik yang menurutnya lebih selari dengan aspirasi reformasi yang diperjuangkan sebelum ini. - Sinar Harian